Kerajaan Negeri salur RM390 juta selenggara perumahan rakyat sejak tahun 2008

Admin
whatsapp image 2025 06 30 at 13.21.29 (2)

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan lebih RM390 juta bagi membantu menyelenggara perumahan rakyat menerusi program Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) sejak tahun 2008 sehingga kini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata bahawa jumlah tersebut adalah menggambarkan keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam menjaga keperluan asasi penduduk di negeri ini.

“Sejak tahun 2008 apabila Pakatan Harapan (sebelum itu Pakatan Rakyat) mengambil alih negeri Pulau Pinang banyak perubahan telah dilaksanakan di negeri ini.

“Salah satu perubahan adalah Pulau Pinang menjadi satu-satunya Kerajaan Negeri yang sangat prihatin terhadap keperluan rakyat dengan memperkenalkan program TPM80PP ini.

“Saya boleh katakan bahawa selagi Pakatan Harapan masih mentadbir negeri Pulau Pinang, maka kita akan teruskan program TPM80PP ini pada masa-masa akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan kerja-kerja naik taraf bumbung rosak serta lain-lain kerja berkaitan di Tanjung Apartment Indah 1 dan Blok D, Taman Sukaria di sini semalam.

whatsapp image 2025 06 30 at 13.21.23whatsapp image 2025 06 30 at 13.21.27 (1)whatsapp image 2025 06 30 at 13.21.20

Hadir sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeh Keen; Senator, Ahli Dewan Negara (Senator), R. Lingeshwaran; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar serta wakil komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Sundarajoo memberitahu bahawa sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM4.5 juta bagi tujuan penyelenggaraan perumahan rakyat dalam kawasan Parlimen Bagan.

“Jumah ini adalah merangkumi projek menaik taraf di ketiga-tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) iaitu Sungai Puyu, Bagan Jermal dan Bagan Dalam.

Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf bumbung yang dilaksanakan di Tanjung Apartment Indah 1 adalah membabitkan kos RM309,800 yang dibiayai oleh LPNPP manakala baki RM61, 960 daripada Ahli Parlimen Bagan (RM42,000) dan Badan Pengurusan Bersama, JMB (RM19,960).

Bagi projek menaik taraf di Blok D Taman Sukaria pula membabitkan peruntukan berjumlah RM191,350 dengan sejumlah RM153,080 adalah dibiayai oleh LPNPP manakala baki RM38,270 disalurkan oleh ADUN Bagan Jermal.

Selain projek penyelenggaraan, Sundarajoo berkata bahawa Kerajaan Nageri melalui LPNPP juga memperkenalkan skim pembaharuan semula bangunan lama untuk menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada penduduk di negeri ini.

“Melalui skim ini, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti projek perumahan yang sempit dan usang untuk dibangunkan semula dengan membina rumah baharu berkeluasan 800 kaki persegi yang dilengkapi dengan semua fasiliti yang diperlukan.

“Sehingga kini, Kerajaan Negeri sudah kenal pasti lebih kurang tujuk projek untuk tujuan bina semula di bawah skim ini,” jelasnya yang juga ADUN Perai.

Dalam pada itu, Guang Eng berkata bahawa program TPM80PP yang diperkenalkan semasa beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang adalah bagi membantu rakyat membiayai kos penyelenggaraan projek perumahan yang menelan kos sangat tinggi.

“Jika kita letakkan beban kos sepenuhnya kepada rakyat, saya percaya projek penyelenggaraan dan pembaikan sukar untuk dijalankan.

“Jadi Kerajaan Negeri perkenalkan program ini untuk membantu 80 peratus kos yang diperlukan rakyat untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan manakala baki 20 peratus lagi ditanggung oleh penduduk melalui JMB,” katanya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF