Kerajaan Negeri sambut baik usaha dan inisiatif Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang

Admin
KUNJUNGAN hormat pimpinan Yayasan Kominiti Negeri Pulau Pinang menemui Ketua Menteri di Komtar tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang tadi menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang di pejabatnya dekat Kompleks Tun Abdul Rakyat (Komtar).

TAN Gin Soon 

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit tersebut, Pengerusi Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Tan Gin Soon membentangkan laporan program-program kebajikan yang berjaya dianjurkan sepanjang tahun ini serta perancangan acara bagi tahun 2022.

Di samping itu, beliau turut membangkitkan isu kekangan kewangan yang sedang dihadapi pada peringkat yayasan bagi melaksanakan beberapa program kebeliaan pada tahun hadapan.

“Selain mendapat bantuan dana daripada Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, kita tidak mendapat sumbangan dana daripada syarikat swasta…mungkin ini salah satu sebab yayasan menghadapi kekangan kewangan,” jelasnya.

KETUA Menteri

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyambut baik segala usaha yang dimainkan pada peringkat yayasan berkenaan demi meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat terutama gender belia dan wanita di Pulau Pinang.

“Saya mendapati banyak program dianjurkan pada tahun ini (2021) walaupun yayasan menghadapi masalah kewangan

“Pada peringkat pejabat saya, mungkin akan memberi sebahagian peruntukan mengikut program…pihak saya akan membuat pertimbangan dan akan memaklumkan kemudian,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Selain Gin Soon, turut menyertai kunjungan hormat bertemu Kon Yeow adalah Faizal Ishak (Setiausaha), Lim Swee Bok (Bendahari) dan beberapa ALP seperti Datuk Dr. G.P. Doraisamy, Abu Bakar Md. Noor dan Mohd Hafiz Ali Mohd. Anuar (Felo).

Difahamkan, Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1999 dengan tujuan melaksanakan program kemasyarakatan serta tidak berorientasikan keuntungan.

Kali pertama pucuk pimpinan yayasan itu mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri adalah pada tahun 2019, iaitu sebelum Pulau Pinang menempuhi waktu pandemik COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING