PIKM, bincang isu kawalan kadar harga perkhidmatan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Muhammad Ubaidillah Iman dekat pejabatnya di Komtar.

 

 

Muhammad Ubaidillah hadir bersama-sama delegasi yang terdiri daripada Penolong Bendahari, Datuk Habibullah Datuk Ahmad; Ahli-Ahli Jawatankuasa, Datuk Jaafar Mat, Adnan Abdullah dan Syahril Azwar Jamaluddin; Pengerusi Zon Negeri, Muhammad Syafiq Ishak dan Pengurus Besar, Jeff Nor Jettey.

 

 

MUHAMMAD Ubaidillah Iman ketika memberi penerangan kepada Ketua Menteri di Komtar.

Dalam pertemuan itu, Kon Yeow menerima penerangan berhubung sejarah dan objektif penubuhan PIKM, perkhidmatan dan latihan ditawarkan serta struktur badan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

 

 

Turut dibangkitkan, isu berkaitan Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,200 membabitkan pengawal keselamatan dan pengawal peribadi serta impak kenaikan PGM tersebut berdasarkan Kajian Kos Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (Tanpa Senjata Api) yang dijalankan serta kekangan dihadapi PIKM berhubung kawalan kadar harga perkhidmatan, isu monopoli dan agihan tender serta kebajikan personel.

 

 

Selain itu, Muhammad Ubaidillah turut membangkitkan isu pengawal keselamatan tanpa izin yang masih berlaku kini, yang mana terdapat syarikat pembekal menggunakan perkhidmatan warga asing selain Nepal sebagai pengawal keselamatan dan ia jelas melanggari perlembagaan serta undang-undang.

 

 

KETUA Menteri berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan pada pertemuan tersebut adalah melibatkan ramai pihak berkepentingan lain.

Kon Yeow sebagai respons memohon supaya diadakan pertemuan dan perbincangan lanjut dengan pihak di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari solusi terbaik dalam memastikan kelangsungan dan kelestarian perkhidmatan keselamatan terutama di Pulau Pinang.

 

 

Difahamkan, pertemuan tersebut juga akan melibatkan jabatan, agensi serta pihak berkepentingan berkaitan yang menggunakan atau berurusan dengan perkhidmatan pengawal keselamatan dan pengawal peribadi di negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN