Kerajaan Negeri sedia kerjasama tingkat kemahiran, jaminan keselamatan sosial pekerja

Admin
img 20250622 wa0046

PERAI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia menjalinkan kerjasama dengan kesatuan pekerja dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk meningkatkan kemahiran dan jaminan keselamatan sosial dalam landskap pekerjaan yang semakin berubah pada masa kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa seiring dengan cabaran yang semakin kompleks seperti penggunaan dan kebergantungan kepada kecerdasan buatan serta ketidaktentuan pasaran global, pekerja kini berdepan dengan zaman ketidakpastian, kerumitan dan perubahan sangat pantas.

“Maka saya mewakili Kerajaan Negeri sedia menghulurkan tangan bersama kesatuan pekerja dan juga KESUMA untuk sentiasa mengambil tindakan relevan dalam memastikan para pekerja mendapatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan jaminan keselamatan sosial dalam landskap pekerjaan yang semakin berubah.

“Kerajaan Negeri juga sedia membantu pekerja untuk beradaptasi dengan keperluan dan perubahan semasa, di samping usaha-usaha memperjuangkan gaji dan waktu bekerja yang telah lama diperjuangkan.

“Saya percaya, Visi Penang2030 dan kerangka Malaysia Madani hanya dapat dicapai sekiranya wujud kontrak sosial baharu yang lebih inklusif, adil serta progresif.

“Dalam perjanjian sosial baharu ini, kesatuan sekerja kekal menjadi suara penting bukan sahaja dalam memperjuangkan hak pekerja, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam merangka masa depan pembangunan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2025 Peringkat Zon Utara di sini sebentar tadi yang tuurt dihadiri oleh Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong.

img 20250622 wa0045img 20250622 wa0032img 20250622 wa0036img 20250622 wa0037

Hadir sama, Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd. Yusof; Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja, Mohd. Asri Abdul Wahab; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Arzanil Bahadon; Presiden, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Dato’ Dr. Adnan Mat dan Presiden, UNI Malaysia Liaison Council (UNI MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga akan memberikan tumpuan utama terhadap hak dan keadilan pekerja yang bukan sahaja akan memanfaatkan penduduk Pulau Pinang tetapi juga pekerja dari negeri-negeri jiran.

“Dalam usaha kita bergerak ke arah pembangunan ekonomi dan sosial secara mampan, pembentukan dasar-dasar pembangunan yang memfokuskan kepada tunjang utama ekonomi iaitu pekerja adalah sangat mustahak.

“Melalui Visi Penang2030, Kerajaan Negeri tidak sekadar menekankan pertumbuhan ekonomi tetapi turut mengimbangi antara kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup.

“Di sinilah letaknya peranan kesatuan sekerja sebagai institusi yang menjaga keseimbangan antara tuntutan produktiviti dan martabat kemanusiaan.

“Mereka memastikan bahawa pekerja bukan sekadar medium dalam penghasilan, tetapi insan yang memiliki hak, maruah dan suara,” ujarnya sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada kesatuan pekerja yang tanpa lelah memperjuangkan nasib para pekerja di nagara ini.

Sementara itu, Chee Keong dalam ucapannya sebelum itu menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mempertuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Pekerja (PHEKS) pada tahun 2025 berbanding hanya RM5.8 juta pada tahun lepas.

“Ini merupakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM7.15 juta diagihkan kepada kesatuan sekerja mengikut kluster yang diluluskan, manakala sebanyak RM2.85 juta untuk Program Outreach dan Program Khidmat Masyarakat (CSR),” katanya.

Tambahn Chee Keong, PHEKS 2025 telah menerima sejumlah 1,049 permohonan daripada pelbagai kesatuan sekerja di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 551 permohonan bernilai RM7.15 juta telah diluluskan.

“Sejumlah 124 permohonan bernilai RM1.51 juta yang diluluskan adalah PHEKS 2025 Peringkat Zon Utara yang merangkumi negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD