Kerajaan Negeri sedia lancar pakej bantuan COVID-19 baru jika PKP dilaksanakan semula

PADANG KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk melancarkan pakej bantuan COVID-19 sekali lagi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco yang diadakan baru-baru ini.

“Saya sudah berikan arahan awal kerana kita menjangkakan satu keputusan mengenai perkara ini akan dibuat, jadi kita (Kerajaan Negeri) perlu bersedia dengan pakej bantuan baru.

“Peruntukan yang akan digunakan adalah berdasarkan apa yang diumumkan dalam pembentangan Bajet negeri pada akhir tahun lepas kerana dalam tempoh pandemik ini, ada beberapa program atau projek yang dirancang tidak dapat teruskan atau lewat dilaksanakan.

“Seperti tahun lepas, kita (Kerajaan Negeri) tidak ada bajet khusus (COVID-19), tetapi kita (Kerajaan Negeri) uruskan (peruntukan pakej bantuan) daripada simpanan yang ada. Oleh itu, bajet tahun ini juga boleh disusun semula sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi,” jelasnya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sumbangan One Hope Charity & Welfare dekat Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini sebentar tadi.

Mengulas mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa pemain industri sekiranya PKP penuh dilaksanakan sekali lagi sebagaimana Mac tahun lalu, Kon Yeow menjelaskan bahawa impak terhadap ekonomi merupakan pertimbangan utama yang akan diambil kira oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya difahamkan, beberapa hari sebelum ini satu mesyuarat teknikal telah diadakan dengan badan-badan berkaitan untuk mendengar pandangan mereka, dan pihak berwajib akan menilai input-input yang diperoleh untuk dibentangkan pada esok (Isnin) sebagai satu ketetapan,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri terawal melancarkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang secara berperingkat bagi membantu semua kumpulan paling terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Antara yang menerima manfaat daripada pakej-pakej bantuan yang dilancarkan Kerajaan Negeri adalah pasukan barisan hadapan, penjaja dan peniaga kecil, pengusaha tadika, penjual buku dan surat khabar, pemandu teksi, pengusaha industri pelancongan dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD