Kerajaan Negeri segera laksana mitigasi tangani hakisan pantai

Admin
img 20260127 wa0013

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap isu hakisan pantai di sepanjang pesisir Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi dengan melaksanakan tindakan mitigasi segera bagi menjamin keselamatan orang awam serta kelangsungan sektor pelancongan.

 

img 20240117 wa0011
ZAIRIL Khir Johari.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, walaupun hakisan pantai merupakan fenomena bermusim akibat Monsun Timur Laut, tahap kerosakan yang berlaku awal tahun ini didapati lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

“Walaupun hakisan pantai di Batu Ferringhi adalah fenomena tahunan, tahap kerosakan yang berlaku pada musim ini adalah lebih membimbangkan dan memerlukan tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

img 20260127 wa0010

 

Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyumbang kepada kemerosotan pantai, khususnya di kawasan tumpuan pelancong dan aktiviti sukan pantai.

 

Bagi kawasan pesisir pantai Tanjong Bungah yang melibatkan Pantai Hotel Mercure, Skyhome Apartment dan Chinese Swimming Club, Zairil memaklumkan bahawa JPS telah menyiapkan laporan teknikal berkaitan hakisan dan kini dalam proses memohon peruntukan bagi melaksanakan langkah mitigasi dengan segera.

 

Laporan teknikal telah disiapkan dan kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan peruntukan supaya tindakan mitigasi dapat dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan orang awam,” jelasnya.

 

Sementara itu, bagi kawasan pantai Batu Ferringhi yang melibatkan Hotel Bayview, Lone Pine, Golden Sands dan Shangri-La, Zairil memberitahu bahawa tindakan mitigasi jangka pendek akan dilaksanakan melalui penambahan sandbag bagi mengurangkan impak hakisan pantai.

 

img 20260127 wa0011

 

Dalam masa yang sama, jelasnya lagi, JPS turut mengemukakan permohonan peruntukan bagi tahun 2026 melalui Kerajaan Persekutuan bagi menangani hakisan di beberapa kawasan kritikal yang terjejas.

 

Mengulas langkah jangka panjang, Zairil berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pembinaan Outfall dan Struktur Mencegah Hakisan Pantai dengan peruntukan sebanyak RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan 5 (RP5).

 

“Projek ini bertujuan mengurangkan kadar hakisan di sepanjang pesisir pantai serta memastikan kawasan pantai kekal selamat, stabil dan terus menjadi tarikan utama pelancongan di Pulau Pinang,” katanya.

 

Setakat ini, Zairil menjelaskan bahawa kerja-kerja ukur hidrografi di tapak projek telah siap dilaksanakan pada Disember 2025, manakala proses pelantikan perunding oleh JPS sedang dijalankan dan dijangka dimuktamadkan pada hujung Februari 2026. Kerja-kerja fizikal pula akan dimulakan selepas pelan reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya.

 

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa JPS kini melaksanakan Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Pulau Pinang (ISMP) yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2027.

 

“Kajian ini akan menjadi panduan penting kepada kerajaan negeri untuk mengenal pasti pantai-pantai berisiko hakisan supaya langkah pencegahan dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih sistematik dan menyeluruh,” katanya.