Kerajaan Negeri sokong tubuh jawatankuasa siasatan bebas, siasat kematian pelajar akibat simptom jangkitan tibi

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong sepenuhnya penubuhan jawatankuasa siasatan bebas bagi meneliti punca kematian pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, dipercayai akibat simptom-simptom jangkitan tuberculosis atau tibi (batuk kering) pada 27 Ogos lalu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti secara terperinci sama ada wujud unsur kecuaian semasa rawatan awal dilakukan ke atas mendiang susulan beberapa isu yang dibangkitkan keluarga remaja berkenaan.

 

“Kerajaan Negeri juga pada masa sama mengambil maklum mengenai 33 individu termasuk pelajar dan guru dari sekolah berkenaan yang dipercayai terdedah dengan kuman tibi (latent TB) selepas ujian Mantoux (saringan tibi) dilakukan.

 

“Saya difahamkan bahawa ujian secara terperinci serta rawatan sewajarnya akan diberikan kepada mereka,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow percaya bahawa pihak KKM melalui pelbagai agensi kesihatan akan terus memantau penularan wabak ini.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri ingin menyeru orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat palsu demi mengelakkan wujudnya kekeliruan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” serunya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

 

Dalam insiden pada 27 Ogos lalu, mendiang, Carmen Yee meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang ekoran simptom-simptom jangkitan tibi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN