Jerebu: Orang ramai dinasihatkan ikuti pengumuman rasmi dan tenang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menasihati orang ramai mengikuti pengumuman rasmi yang dibuat oleh jabatan berkaitan dari masa ke masa mengenai keadaan jerebu kini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sehingga tengah hari hari ini, sekolah-sekolah di daerah Barat Daya dan Timur Laut di negeri ini ditutup sepenuhnya.

 

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telahpun mengumumkan sekolah di kedua-dua daerah ditutup apabila bacaan (Indeks Pencemaran Udara, IPU) mencecah 200.

 

“Orang ramai terutamanya ibu bapa diminta supaya memberi perhatian terhadap pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh JPN Pulau Pinang serta tenang dan sabar menghadapi situasi ini.

 

“(Dan) pengumuman susulan mengenai makluman awal berkaitan untuk hari esok akan diumumkan pada pukul 3 petang ini oleh JPN Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

(Dari kiri); PHEE Bon Poh, Ketua Menteri dan Dr. Afif Bahardin pada sidang media di Komtar, tadi.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

 

Dalam sidang media sama, Kon Yeow turut meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan dan berada di dalam bangunan atau rumah agar tidak terdedah dengan bahaya jerebu.

 

“Pakai pelitup (face mask) atau topeng apabila berada di luar bangunan bagi mengelakkan terhidu partikel-partikel jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.

 

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Exco berwajib dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang untuk memantau keadaan semasa jerebu di Pulau Pinang,” jelasnya.

 

Menjawab soalan pemberita mengenai pembenihan awan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sekiranya keadaan bertambah rumit maka pihak berwajib perlu melakukan pembenihan awan di Pulau Pinang juga.

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima maklumat terkini mengenai keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) hari ini.

 

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat beberapa gangguan ketibaan penerbangan berlaku antaranya penerbangan Lion Air dari Medan ke Pulau Pinang yang dijadualkan mendarat pada 9:40 pagi ini telah kembali ke asal (Medan). Begitu juga penerbangan kargo UPS dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

 

“Manakala, penerbangan kargo FedEx dari Bangkok ke Pulau Pinang; Silk Air dari Singapura ke Pulau Pinang; AirAsia dari Kuching ke Pulau Pinang dan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang telah dilencongkan dengan jarak penglihatan adalah 1,500 meter.

 

“Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa pihak Malaysia Airlines Holdings Berhad (MAHB) sedang bekerjasama dengan pengawal trafik udara dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan semua syarikat penerbangan untuk makluman terkini,” katanya yang merujuk kepada laporan oleh Pengurus Kanan Lapangan Terbang PIA, Mohd. Nadzim Hashim.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN