Kerajaan Negeri tekad bantu pusat kemahiran OKU

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Dilema seramai 46 pelatih golongan kelainan upaya (OKU) kini dalam dilema apabila pusat kemahiran yang menjadi tempat mereka mencari rezeki, Pusat Joblink : Persatuan Untuk Membantu OKU yang terletak di Jalan Grove di sini menghadapi risiko ditutup.

Ini adalah kerana, menurut Presidennya, Dr. Gurdev Singh Gill, tanah yang diduduki kini akan diambil alih semula oleh Pusat Kanak-kanak Kurang Upaya (Handicapped Children’s Centre).

Justeru, sekiranya pihak pentadbiran tidak menemui lokasi bersesuaian untuk operasi dalam tempoh akan datang, maka, para pelatih terpaksa pulang ke rumah,” katanya sambil menjelaskan masalah dihadapinya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai pada lawatan beliau di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, Hon Wai yang prihatin dengan masalah tersebut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan usahakan sesuatu bagi kebaikan pusat berkenaan.

Pusat ini merupakan tempat terbaik buat OKU bukan sahaja untuk memperoleh duit poket tetapi juga bagi mendapatkan kenalan baru dan belajar menggunakan kemahiran-kemahiran berfaedah,” ujar Hon Wai yang turut menyampaikan sumbangan kemeja-T kepada pelatih-pelatih di pusat tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pelatih, G. Palaniveloo berkata, pusat tersebut menerima pelatih dalam lingkungan usia 18 – 44 tahun yang mengalami pelbagai ketidakupayaan seperti kecacatan fizikal, sindrom Down, palsi cerebrum, autistik dan terencat akal.

Pelatih-pelatih di pusat ini diberi kerja-kerja subkontrak oleh syarikat-syarikat dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seperti membersihkan paip PVC (polyvinyl chloride) dan menyusun blok-blok memo.

Sejak ditubuhkan pada 1992, seramai 20 pelatih telah berjaya mendapatkan peluang pekerjaan dalam lapangan perhotelan dan perkilangan,” jelasnya.

WONG Hon Wai (dua dari kiri) dan Dr. Gurdev Singh memerhatikan blok-blok memo yang disusun rapi oleh pelatih-pelatih Pusat Joblink : Persatuan Untuk Membantu OKU di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai (dua dari kiri) dan Dr. Gurdev Singh memerhatikan blok-blok memo yang disusun rapi oleh pelatih-pelatih Pusat Joblink : Persatuan Untuk Membantu OKU di sini baru-baru ini.