Jalan Masjid Kapitan Keling kini rata

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 

GEORGE TOWN – Rata-rata pihak menarik nafas lega apabila batu cobalt di Jalan Pitt atau lebih dikenali sebagai Jalan Masjid Kapitan Keling yang sebelum ini mendatangkan banyak kesulitan kepada para pengguna telah selesai dikeluarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, jalan sepanjang 800 meter merangkumi Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Cina dan Kampung Kolam berkenaan juga telah siap ditar dan diratakan.

Ahli Majlis MPPP, Teh Lai Heng berkata, kelulusan permohonan bagi menaiktaraf jalan tersebut diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Penuh MPPP setelah cadangan dikemukakan tahun lalu. Pada masa sama, bancian bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh daripada masyarakat setempat turut dijalankan dengan keputusan bahawa 86 peratus bersetuju untuk menukar keadaan jalan sedia ada kepada bertar.

MPPP memperuntukkan sebanyak RM251,490 bagi mengeluarkan batu cobalt ini dan ia akan diguna semula di tempat parkir Taman Perbandaran Pulau Pinang,” katanya pada sesi sidang media di sini baru-baru ini.

Permukaan Jalan Kapitan Keling sebelum ini yang dibina menggunakan batu cobalt pada tahun 2006 merupakan sebahagian daripada projek mencatikan bazar di bawah projek Penang Gold Bazaar bernilai RM 6 juta oleh kerajaan terdahulu (Kerajaan Barisan Nasional). 

Tambah Lai Heng, selain jalan baru yang bertar, lampu isyaratpejalan kaki turut akan diwujudkan bagi keselamatan pengguna.

Justeru, diharap kerjasama daripada pengguna jalan raya agar mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan tersebut seperti yang ditetapkan 50 jam/kilometer dapat diikuti,” ujar beliau.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dan wakil Persatuan Penduduk dan Peniaga Jalan Kapitan Keling.