Kerajaan Negeri tiada cadangan tukar nama jalan utama Pantai Bersih

fb41f47e cd32 4bc3 b6c8 53e55888ab6e KETUA Menteri dan Zairil Khir Johari (kiri) dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 21 Januari 2026.

GEORGETOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini tiada sebarang pertimbangan untuk menukar nama jalan utama bagi Jalan Pantai Bersih dekat Butterworth.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa kekeliruan timbul berikutan terdapat sebuah jalan ‘cabang’ di kawasan tersebut yang turut berkongsi nama yang sama dengan jalan utama tersebut.

Tambah beliau, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari sendiri menjelaskan bahawa Jawatankuasa Penamaan Jalan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikannya hanya meneliti cadangan penamaan semula bagi sebahagian jalan kecil yang terletak di hadapan lokasi sebuah tokong di kawasan berkenaan.

“Saya percaya jawatankuasa tidak menimbang untuk menukarkan Jalan Pantai Bersih yang utama.

“Apa yang dipertimbangkan hanya sebahagian jalan di depan lokasi tokong yang merupakan satu cabang jalan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi pada sidang media di sini pada 21 Januari 2026.

Hadir sama, Zairil; Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin.

d25cd605 2080 4068 9633 6c8de66a2696Di samping itu, Kon Yeow menyatakan beliau percaya bahawa bukan hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Persatuan Sukarelawan Thean Hock Keong untuk menukar nama asal Jalan Pantai Bersih, semasa membuat permohonan penamaan semula jalan bercabang tersebut kepada jawatankuasa berwajib.

“Untuk lebih jelas, itu pun bukan niat pihak persatuan saya rasa.

“Mereka hanya merujuk kepada jalan cabang tersebut sahaja, bukannya jalan utama,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sebelum itu, Kon Yeow diminta memberi respons mengenai cadangan pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan aman di Jalan Pantai Bersih pada 4.00 petang esok, susulan permohonan menukar jalan tersebut.

Bercakap pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Zairil memberitahu bahawa sejak tahun lepas lagi Jawatankuasa Penamaan Jalan Negeri Pulau Pinang memang ada menerima permohonan untuk menukar jalan bercabang sepanjang 280 meter (m) yang secara kebetulan diberi nama sebagai Jalan Pantai Bersih.

“Pada peringkat ini, memang jawatankuasa ini, saya percaya tidak lihat atau menimbang menukarkan Jalan Pantai Bersih utama.

“Apa yang dipertimbang adalah sebahagian jalan di depan lokasi tokong yang menjadi satu cabang yang kebetulan juga diberi nama yang sama (Jalan Pantai Bersih),” responsnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI