GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya tiada hasrat untuk menjualkan pegangan-pegangan saham dalam pasaran kewangan negara sedia ada memandangkan ia masih membawa pulangan dividen kira-kira RM50 juta setahun.
Exco Kewangan, Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian dalam Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong di sini pada 30 November 2023.
“Pelaburan (dalam pasaran kewangan) ini membawa pulangan dividen setiap tahun, maka kita (Kerajaan Negeri) tidak bercadang untuk menjual supaya kita dapat nilai jualan RM362,855,907.82.
Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri memang mempunyai pegangan saham dalam beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Petronas Dagangan Bhd., Tenaga Nasional Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Axiata Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd., PBA Holdings Bhd dan Maxis Bhd..
Menurut beliau, nilai kos saham-saham tersebut adalah sebanyak RM233,964,073.19, pada 29 November lepas bernilai RM362,855,907.82 dengan lebihan keuntungan sebanyak berjumlah RM128,891,834.63.
“Sekiranya saham-saham tersebut dijual mengikut harga pasaran semasa, Kerajaan Negeri akan memperoleh lebihan atau lebihan keuntungan berjumlah RM128,891,834.63,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil menyatakan bahawa pentadbirannya tidak berhasrat berbuat demikian lagi ketika ini.
Mengambil kira kekangan hasil pendapatan berbanding perbelanjaan defisit yang terpaksa dibuat, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya melalui Jabatan Kewangan Negeri sentiasa mengkaji peluang untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan dalam pasaran kewangan termasuk simpanan tetap serta lain-lain instrumen kewangan yang bersesuaian.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam usaha untuk meningkatkan dan menambah baik sumber pendapatan negeri,” ulasnya.
Semasa pembentangan Bajet 2024 Pulau Pinang pada 24 November lepas, Kon Yeow memberitahu bahawa hasil Kerajaan Negeri dianggarkan sebanyak RM533.08 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,047.60 juta.
Belanjawan defesit Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 sebanyak RM514.52 tidak dapat dielakkan, yang mana menyaksikan pertambahan defisit RM47.40 juta berbanding Bajet 2023 Pulau Pinang (RM467.12 juta).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS