Kerap berlaku kemalangan, ADUN saran tahap keselamatan jalan raya Taman Ampang Jajar ditingkatkan

Admin

BAGAN JERMAL – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee menyarankan agar tahap keselamatan di jalan raya Taman Ampang Jajar ditingkatkan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan di kawasan terbabit.

Soon Lip Chee menunjukkan meter elektrik milik JPS yang telah dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, terdapat banyak aduan daripada orang ramai berkaitan keadaan jalan raya berkenaan yang gelap dan kurang penyelenggaraan menyebabkan kemalangan kerap berlaku di kawasan itu.

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri memaklumkan bahawa lapan unit lampu jalan di kawasan jambatan sudah tidak berfungsi sejak sebulan lalu disebabkan wayar dan kabel elektrik telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini saya cadangkan satu inisiatif iaitu pihak JPS menyerahkan kerja-kerja penyelenggaraan lapan tiang lampu ini kepada pihak MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai),” katanya pada sidang media semasa melawat jambatan yang kerap menjadi lokasi kemalangan maut, di sini semalam.

Jalur putih dan kuning jalan yang sudah tidak kelihatan boleh mengundang bahaya kepada pengguna.

Turut serta, Ahli Majlis bagi MPSP, Khong Chee Seong; Penyelaras Khas Parlimen Bagan, Tan Kang Chong; wakil daripada JPS Negeri Pulau Pinang; wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang serta wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pada 9 Mei lalu, tular di laman media sosial mengenai kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Perai berhampiran Ampang Jajar.

Dalam pada itu, Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan juga turut menggesa pihak JKR supaya mengkaji semula kesesuaian penghadang jambatan yang dilihat kurang selamat kepada pengguna jalan raya.

“Harap pihak JKR dapat kemukakan cadangan berkaitan penghadang jambatan yang lebih sesuai demi keselamatan pengguna jalan raya kerana penghadang yang ada kini dilihat sudah rosak dan berkarat.

“Selain itu, isu pokok tidak dicantas juga menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya tetapi kita dimaklumkan pihak JKR tidak mempunyai peruntukan untuk tujuan ini.

“Justeru, saya akan memohon kepada pihak MPSP supaya membantu mencantas dahan-dahan pokok yang mengganggu pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF