Kereta modifikasi Eropah curi tumpuan di Tapak Ekspo Seberang Jaya

Admin
modifikasi sj (1)

SEBERANG JAYA — Tapak Ekspo Seberang Jaya menjadi tumpuan orang ramai apabila lebih 100 kereta modifikasi berjenama Eropah daripada Kelab DSG North dipamerkan sempena program “DSG North Meet 2.0 & Vendor Rendezvous” di sini pada 25 Oktober lalu.

Program yang julung kali dianjurkan oleh RTWOM Ventures itu berlangsung di kawasan parkir Pasar Tani Kekal FAMA dan berjaya menggamit ribuan pengunjung serta para peminat kereta modifikasi.

modifikasi sj (16)

Presiden Kelab DSG North, Mohd. Shazwan Nazreen Nor Hisham berkata, program kali ini memberi pengalaman baharu kepada ahli kelab serta membuka ruang interaksi lebih luas dengan masyarakat.

“Pada pertemuan sebelum ini, kami hanya berkumpul di kedai makan tetapi kali ini lebih bermakna kerana kami dapat berkongsi minat dengan masyarakat dalam suasana lebih terbuka.

“Lagipun, program ini telah menjadi platform bagi peminat automotif berkongsi minat dan teknologi modifikasi terkini yang sebenarnya turut menggabungkan elemen komuniti serta sokongan terhadap ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Program yang mendapat penyertaan kelab automotif dari Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Perak dan Langkawi ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry.

modifikasi sj (12)

Dalam pada itu, memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh RTWOM Ventures, penganjuran seumpama ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat melalui sokongan terhadap vendor dan peniaga kecil, selain memperkenalkan budaya automotif sebagai tarikan baharu kepada komuniti.

Sepanjang acara, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti jualan produk tempatan sambil menyokong usahawan kecil dan sederhana. Cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan suasana dan memberi nilai tambah kepada pengunjung.

modifikasi sj (11) modifikasi sj (18)

Gambar: RTWOM VENTURES