Kereta rasmi baru, Ketua Menteri sedia terima pandangan pelbagai pihak

Admin

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sedia menerima semua pandangan dan kritikan daripada pelbagai pihak berhubung pembelian kereta rasmi baharu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Kon Yeow berkata, beliau sedia bertanggungjawab sepenuhnya berhubung isu tersebut walaupun pembelian kereta rasmi dibuat melalui proses pentadbiran yang sewajarnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Ada pandangan yang mengatakan bahawa masanya (pembelian kereta) tidak sesuai kerana pandemik COVID-19, dan saya mengambil maklum semua pandangan ini.

“Saya ingin menyatakan bahawa proses ini adalah melalui proses pentadbiran yang sewajarnya tetapi mungkin kurang tepat pada masanya kerana pandemik COVID-19.

“Namun sebagai Ketua Menteri, sekiranya ada pihak yang tersinggung, saya memikul tanggungjawab terakhir dalam isu ini dan menjanjikan bahawa kita (Kerajaan Negeri) akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pertimbangan pada masa akan datang,” ujarnya pada sidang media dekat Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, beliau memberikan jaminan bahawa pembelian kereta rasmi baru tersebut tidak akan sesekali menjejaskan kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk seluruh rakyat di negeri ini.

“Ada sesetengah pihak risau bahawa peruntukan yang digunakan untuk membeli kereta baru bakal menjejaskan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat jelata, tetapi ini tidak benar sama sekali.

“Ini kerana sebelum isu kereta baru dicetuskan, saya telah pun mengarahkan semua ahli Exco dan Pegawai Kewangan Negeri untuk menyediakan bajet bagi pakej bantuan seterusnya sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan sekali lagi.

“Kita berharap isu ini akan menjadi satu pengajaran pada masa akan datang. Walaupun ada keperluan tetapi memandangkan rakyat sedang risau (situasi pandemik), mungkin pembelian ini boleh ditangguhkan,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang telah membeli sebuah kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada tahun 2013.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata bahawa pembelian kereta itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November 2019.

“Kereta model berwarna kelabu selenite yang dikeluarkan pada 2019 dibeli dengan harga RM458,122.78 iaitu dengan potongan harga sebanyak RM127,765.22. MMK telah bersetuju dengan pembelian kereta baru itu pada 29 November 2019,” ulasnya dalam kenyataan berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD