GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa setakat pagi tadi kerja-kerja untuk memecahkan batu-batu besar giat dijalankan di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) Balik Pulau.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut sedang dilaksanakan oleh pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor lantikan.
“Masih terdapat banyak batu besar yang menutup hampir sebahagian jalan (Jalan Tun Sardon).
“Batu-batu besar ini perlu dipecahkan terlebih dahulu sebelum boleh diangkat atau dialihkan oleh pasukan di tapak,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akibat kejadian tersebut juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz, mengambil respons pantas beberapa hari lalu bersama pihak polis menutup laluan keluar dari Jalan Gertak Sanggul ke Jalan Teluk Kumbar pada waktu puncak.
“Kita laksanakan penutupan aliran lalu lintas Jalan Gertak Sanggul ke Jalan Teluk Kumbar (pekan) pada waktu puncak.
“Walaupun ia tidaklah menjadikan kawasan ini tidak sesak, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit kelegaan kepada aliran trafik terutamanya pada waktu puncak.
“Ia akan dibuka seperti biasa selepas Jalan Tun Sardon boleh digunakan kelak (dijangka 31 Oktober 2025),” jelasnya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi.

Sementara itu, Penghulu Kanan/Teluk Bahang bagi Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Mohd. Farouk Varusai Mohd. memberitahu, Jalan Persekutuan FT006 Jalan Teluk Bahang ke Balik Pulau boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja.
“Penutupan dua jalan terlibat telah menyebabkan sedikit kesesakan ekoran bergantung kepada Jalan Teluk Kumbar sahaja untuk keluar daripada Balik Pulau.
“Saya berharap kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dengan cepat dan sempurna bagi memudahkan semua pihak terkesan,” maklum beliau lagi.

Seorang penjawat awam, Mohd Khairul Azam Md. Akhir berkata beliau terpaksa mengambil hampir dua jam untuk sampai ke tempat kerja yang terletak di Air Itam.
“Kalau sebelum ini lalu Jalan Tun Sardon lebih dekat dan menjimatkan masa, disebabkan jalan tersebut ditutup perlu ikut Jalan Teluk Kumbar.
“Seperti sedia maklum Jalan Teluk Kumbar sudah sesak bagi pengguna-pengguna yang ingin ke Zon Perindustrian Bayan Lepas, itu yang menambahkan lagi masa perjalanan saya.
“Tambahan pula jalan di beberapa kawasan dekat Teluk Kumbar cuma satu lorong sahaja,” maklum beliau lagi.
Pada 23 Oktober lalu, Pulau Pinang dilanda hujan lebat dalam tempoh yang lama dan mengakibatkan banyak kawasan mengalami tanah runtuh.
Susulan daripada itu, JKR Pulau Pinang mengeluarkan notis penutupan Jalan Tun Sardon dan Jalan Teluk Bahang ke Balik Pulau yang terjejas teruk.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : IDZHAM AHMAD