Kerjasama penduduk sama-sama selenggara saliran air penting

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

NIBONG TEBAL – Penduduk di kawasan Parlimen Nibong Tebal kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk melaksanakan projek tebatan banjir jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah banjir yang kerap melanda di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kegagalan sistem saliran air sedia ada untuk menampung pengaliran air menjadi antara faktor utama banjir kerap melanda terutama kawasan pekan dan taman-taman perumahan sekitar Nibong Tebal.

“Taman Nibong Tebal sebagai contoh, apabila hujan lebat melanda, parit monsun di sini tidak dapat menampung pengaliran air yang banyak sehingga melimpah dan menenggelamkan kawasan perumahan ini,” katanya ketika mengadakan tinjauan ke Jalan Bayan Kecil, Taman Nibong Tebal di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye dan Loh Joo Huat serta beberapa pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut Kon Yeow, usaha mengatasi masalah banjir tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya pada bahu Kerajaan Negeri, sebaliknya kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama menyelenggara sistem saliran air adalah penting bagi mengatasi masalah banjir di sini.

“Contohnya, longkang berhampiran rumah, pastikannya bersih dan tidak tersumbat. Hal ini kerana sampahsampah yang dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang akan dibawa air ke rumah pam dan sampahsarap seperti plastik akan menyekat aliran air sekaligus memberi kesan terhadap operasi rumah pam.

“Kita (Kerajaan Negeri dan JPS) menganggarkan sebanyak RM1 juta diperlukan bagi melaksanakan pemasangan jerangkap sampah baharu di kawasan ini dan kita akan cuba ‘menguruskan’ dari sumber kewangan MPSP, JPS, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dan juga Kerajaan Pusat,” ujar beliau.