Nilai ringgit susut & GST beri tekanan kepada rakyat – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

PULAU TIKUS – Penyusutan nilai mata wang negara yang dihadapi kini sedikit sebanyak memberi tekanan buat semua lapisan rakyat Malaysia terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia amnya mengalami tekanan hidup rentetan ketidaktentuan nilai ringgit dan keadaan pasaran minyak mentah sedunia.

“Nilai ringgit yang kian merosot serta harga minyak yang tinggi sedikit sebanyak memberi impak kepada pengusaha, peniaga-peniaga kecil, pemain industri dan seterusnya rakyat Malaysia.

“Hakikat ini jelas apabila rungutan rakyat kedengaran di mana-mana sahaja termasuk di kedai kopi mahupun di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Tambahan dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 lalu yang ‘memaksa’ rakyat membayar cukai sebanyak 6 peratus, amat membebankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya Ahli Parlimen Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Selain tuan rumah, Zairil Khir Johari, turut memeriahkan majlis, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Menurut Guan Eng, cukai GST dilaksanakan tanpa memberi pertimbangan yang wajar.

“Selagi kita tidak menghapuskan rasuah, keborosan, ketirisan dan politik wang, pelaksanaan GST tidak akan membawa keuntungan kepada rakyat, ia hanya menjadi sumber kewangan untuk kerajaan.

“Sebab itulah, Kerajaan Negeri menerapkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) dan integriti dalam memberi khidmat kepada rakyat.

“Sebab itu jugalah, dalam tempoh tujuh tahun iaitu antara 2008 hingga 2014, kita (Kerajaan Negeri) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM48.2 bilion iaitu peningkatan 93 peratus berbanding tujuh tahun sebelumnya.

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) juga menikmati lebihan belanjawan dalam tempoh enam tahun sebanyak RM453 juta berbanding belanjawan terkumpul 50 tahun sebelum ini iaitu RM373.6 juta. Dan kita (Kerajaan Negeri) pulangkan kepada rakyat dalam bentuk program-program emas dan bantuan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam pada itu, Zairil yang turut berucap pada majlis itu turut menyeru semua pihak supaya bersatu hati dalam menghadapi = senario ekonomi yang tidak menentu.

Lebih 3,000 hadirin hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka yang turut disulami dengan persembahan nyanyian dan sketsa berkenaan