GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diberi ruang sepenuhnya serta bebas untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan seorang pegawai kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi respons tersebut ketika diminta mengulas mengenai SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian tanah dengan menggunakan dana zakat, yang dilakukan oleh pegawai kanan Kerajaan Negeri.
“Semestinya, Kerajaan Negeri akan memberikan ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan proses siasatan,” jelasnya selepas mengadakan lawatan ke Thaneer Panthal sempena sambutan Thaipusam di Jalan Air Terjun dekat sini pada 31 Januari 2026.
Baru-baru ini, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berwajib susulan dakwaan wang dana zakat oleh beberapa individu.
Menurut sumber, pasukan siasatan SPRM telah hadir ke beberapa pejabat yang disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan, dan kesemua bahan itu kini dalam proses penelitian.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa isu berkenaan sebenarnya telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 pada bulan November 2025, serta mendapat penjelasan yang memuaskan ketika itu.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa isu tersebut dibangkitkan semula baru-baru ini sehingga mendorong SPRM membuka siasatan rasmi.
Mengulas kedudukan pegawai kanan terbabit, Kon Yeow berkata bahawa individu berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu hasil siasatan SPRM lengkap.
Ditanya sama ada pegawai kanan terbabit akan dipanggil untuk memberi penjelasan lanjut, Kon Yeow berkata bahawa ia tidak perlu kerana Kerajaan Negeri berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan dalam persidangan DUN sebelum ini.
“(Pegawai berkenaan) tidak dipanggil kerana kita (Kerajaan Negeri) berpuas hati dengan penjelasan, tetapi memandangkan isu ini dibangkitkan semula, SPRM menyatakan mereka akan siasat.
“Tunggu SPRM siasat… kita (Pihak Berkuasa Negeri) biarkan mereka melakukan siasatan.
“Memandangkan SPRM sudah mulakan siasatan, maka kita beri kerjasama sahaja, kita (Kerajaan Negeri) bukan penyiasat,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; dan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), R.S.N. Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong turut sertai sidang media bersama-sama Kon Yeow.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN