Kerugian cecah RM20.5 juta, orang ramai digesa lebih berhati-hati dengan ‘scammer’

Admin
whatsapp image 2024 04 04 at 12.14.02 pm

GEORGE TOWN – Jenayah siber kini menjadi ancaman yang sangat membimbangkan di seluruh dunia, dan negeri Pulau Pinang juga tidak terkecuali daripada trend ini yang mana sebahagian besarnya adalah berpunca daripada kepesatan pembangunan teknologi dalam dunia moden hari ini.

Berdasarkan statistik pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), skim pelaburan tidak wujud mendahului senarai kes dengan mencatatkan kerugian tertinggi di Pulau Pinang berjumlah RM20,561,486.61 dari Januari hingga Mac tahun ini (2024).

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Deputi Komisioner Polis (DCP), Dato’ Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata walaupun kes yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding penipuan e-belian, skim pinjaman tidak wujud serta lain-lain, namun kerugian disebabkan oleh penipuan pelaburan pada tahun ini adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding 2023 (Januari hingga Mac).

Dari Januari hingga Mac 2023, jumlah kerugian yang dilaporkan di negeri Pulau Pinang mencecah RM5,807,395.05 akibat penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan ramai mangsa.

“Apabila bercakap mengenai pelaburan tidak wujud, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa melalui pelbagai tawaran menarik yang dilihat tidak masuk akal.

“Mana mungkin seseorang individu itu boleh mendapat keuntungan 20 peratus hanya dengan menyertai skim pelaburan dalam masa singkat?

“Sindiket biasanya menawarkan skim-skim permainan wang (money game) dengan pulangan yang lumayandan.

“Oleh itu, bagi mengelakkan orang ramai tidak menjadi mangsa, adalah penting untuk mereka sentiasa meragui serta menyemak sumber dan kredibiliti dengan teliti sebelum membuat sebarang komitmen.

“Sindiket (scammer) tidak semestinya beroperasi dalam jarak yang dekat sebaliknya mereka mungkin berada di negeri atau negara yang berbeza.

“Begitulah modus operandi sindiket dalam memanipulasi bakal mangsa mereka,” kata Muhamed Usuf kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sempen wawancara khas dekat Ibu Pejabat Polis kontinjen Negeri Pulau Pinang di sini semalam.

whatsapp image 2024 04 04 at 12.09.08 pm
Dato’ Mohamed Usuf Jan Mohamad bergambar kenang-kenangan bersama-sama pasukan Buletin Mutiara sempena wawancara khas semalam.

Mengikut pecahan, dari Januari hingga Mac, bilangan mangsa ‘Love/Parcel Scam’ meningkat kepada 73 kes pada tahun 2024 berbanding 22 ke spada tahun lepas (2023) dan skim penipuan tawaran kerja juga meningkat daripada 25 kes pada tahun 2023 kepada 70 kes (2024).

Sebaliknya, penipuan lain seperti e-belian menurun dengan begitu ketara iaitu daripada 388 kes pada tahun 2023 kepada 92 kes (2024), Phone Scam juga menurun kepada 47 kes (2024) daripada 119 (2023.

Selain itu, skim penyamaran dalam talian juga menurun daripada 97 kes pada 2023 kepada 47 (2024) dan pinjaman tidak wujud turun daripada 261 (2023) kepada 58 (2024).

Muhamed Usuf Jan yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam unit jenayah komersial, berkata bahawa media sosial telah bertukar menjadi platform paling menarik untuk scammer memburu mangsa mereka.

“Media sosial telah menjadi medium penting untuk menunjukkan ekspresi diri, dan tanpa kita sedari, penipu telah memanipulasi emosi yang disampaikan melalui laman sosial untuk mereka mengaut keuntungan.

“Niat kita mungkin baik untuk berkongsi tetapi pendedahan keterlaluan dalam laman sosial telah menyebabkan kita terdedah kepada penipuan yang mengundang masalah sehingga boleh mengancam keselamatan diri, kewangan dan sebahaginya,” tegasnya.

Mengambil contoh ‘Love Scam’, beliau berkata bahawa kebanyakan wanita yang terjerat itu datang daripada kumpulan wanita kesunyian atau tiada pasangan hingga mudah terpedaya dengan kata-kata manis diucapkan oleh scammer.

“Kebiasaannya scammer ini mempunyai modus operandi yang mana mereka akan melakukan kajian untuk menyasarkan sasaran wanita berusia yang memiliki banyak sumber kewangan.

“Kita perlu faham bahawa scammer tidak memerangkap mangsa dalam waktu yang singkat sebaliknya mereka akan bermain dengan emosi wanita itu terlebih dahulu dan apabila menyedari perbualan itu semakin panjang, mereka akan memulakan langkah menggoda dan sebagainya.

“Ini merupakan salah satu cara bakal mangsa boleh menjadi mangsa dengan memberi peluang kepada scammer untuk mencipta naratif yang menarik dan seterusnya mencapai objektif mereka,” katanya sambil mengingatkan bahawa Masyarakat perlu sentiasa membuat semakan.

Muhamed Usuf Jan berkata, dari Januari hingga Mac bagi tahun 2023 dan 2024, pecahan mangsa jenayah siber dalam kalangan lelaki menurun daripada 478 pada 2023 kepada 237 (2024) manakala mangsa wanita pula menurun daripada 538 (2023) kepada 243 (2024).

“Selain itu, statistik juga menunjukkan bahawa bilangan kes yang paling tinggi adalah melibatkan individu berumur antara 21 dan 30 tahun dan mereka yang bekerja di sektor swasta,” tambahnya.

Dalam pada itu, Muhamed Usuf juga menyatakan bahawa terdapat penurunan kes sebanyak 6.3 peratus dalam jumlah laporan polis yang diterima antara 2023 dan 2024 iaitu daripada 3,331 kes kepada 3,123 kes.

Selari dengan trend tersebit, beliau menegaskan bahawa PDRM Pulau Pinang komited untuk mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani kes-kes jenayah siber di negeri ini.

“Ini termasuk inisiatif berterusan kami seperti melibatkan diri dengan komuniti melalui sesi penerangan, menjalankan aktiviti walkabout, menganjurkan kempen kesedaran, pameran dan sebagainya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR