Kesabaran kunci kejayaan usahawan keropok lekor

Admin

 

KEROPOK lekor sedia untuk dipasarkan
KEROPOK lekor sedia untuk dipasarkan

Oleh: YAP LEE YING

Gambar:MOHD. HAFIZ TAJUDIN

SELAIN mencari kesempurnaan dalam resipi, cabaran utama dalam bidang perniagaan makanan adalah apabila melayan kerenah para pelanggan.

Atas pegangan ‘customer always right, pengusaha keropok lekor MHN Jaya Enterprise, Noor Ainshah Hassan Noordin, 46, berkongsi pengalaman 10 tahun beliau dalam bidang tersebut bersama Buletin Mutiara yang berkunjung ke kilang pemprosesan produk keluarannya di Kampung Tun Sardon, Penanti, Seberang Perai Tengah.

NOOR Ainshah Hassan Noordin.
NOOR Ainshah Hassan Noordin.

Menurut Noor Ainshah, tidak dinafikan, kesabaran dan kesungguhan dalam menghadapi apa jua rintangan terutamanya dalam melayan kerenah pelanggan merupakan salah satu faktor kejayaan beliau kini.

“Terdapat pelbagai jenis, ragam dan perangai pelanggan. Tapi, saya sentiasa pegang bahawa ‘customer always right’.Sebagai peniaga, kita perlu tahan dan sabar.

“Namun, ada suatu ketika, kak (Noor Ainshah) menangis depan pelanggan kerana dimarah gara-gara bayaran. Sebab kita (Noor Ainshah) percaya padanya, kita bagi (beri) dia (peniaga) bayar secara mingguan. Tapi, apabila kita minta, kita pula yang kena marah berkali-kali,’’ jelas beliau.

Selain itu, Noor Ainshah menjelaskan bahawa, bidang perniagaan tersebut memerlukan banyak kesabaran dan komitmen. Semua pelanggan inginkan bekalan tetap dan perlu dihantar tepat pada waktunya ke lokasi setiap hari.

“Contohnya, apabila tiba musim hujan, bekalan ikan adalah tidak mencukupi untuk menampung jumlah permintaan pelanggan dan kadang-kala berlakunya kesilapan teknikal sehingga menyebabkan penghantaran barang (keropok lekor) lewat, maka, kami (pihak pembekal) juga akan dimarah,’’ katanya sambil menjelaskan bahawa faktor-faktor tersebut tidak pernah melunturkan semangat beliau untuk terus berusaha dan memperbaiki ‘kelemahan’ yang diketengahkan para pelanggan.

Selain Pulau Pinang, keropok lekor keluaran MHN Jaya Enterprise turut dipasarkan ke Kedah, Perlis dan sekolahsekolah di sini.

Resipi keropok lekor Noor Ainshah adalah berasal dari negeri Terengganu Darul Iman. Namun, ia telah disesuaikan mengikut citarasa tempatan.

Bagi memperoleh resipi sempurna, beliau menyatakan bahawa tempoh enam hingga tujuh tahun adalah diperlukan. Pada peringkat permulaan, keropok lekor yang dihasilkan adalah keras dan apabila digoreng, ia akan ‘meletup’ terkena minyak panas.

“Dari situ, kita perbaiki dan ada pelanggan yang baik, mereka (pelanggan) akan maklum bahawa resipi dah okay ataupun sebaliknya,’’ ujar Noor Ainshah sambil menyatakan bahawa bahan asas yang digunakan adalah isi ikan, tepung ubi, sagu dan garam.

KOMITMEN para pekerja menghasilkan produk keropok lekor berkualiti.
KOMITMEN para pekerja menghasilkan produk keropok lekor berkualiti.

Secara puratanya, sebanyak 3,000 batang keropok lekor diproses setiap hari dan gerak kerja adalah bermula pada jam 4 pagi hingga 4 petang.

 Dengan kekuatan seramai 13 pekerja yang berkomitmen tinggi, semua kerja dijalankan dengan terurus dengan penghasilan produk berkualiti.

Umumnya, keropok lekor yang dihasilkan dapat bertahan dalam tempoh dua hingga tiga hari sekiranya ia tidak bercampur (diletak bersama) dengan barangan lain. Sekiranya disimpan di dalam tempat sejuk beku, ia dapat bertahan sehingga 2 minggu hingga sebulan.

Bagi perancangan masa depan, Noor Ainshah ingin memproses isi ikan untuk dipasarkan kepada pengusaha-pengusaha keropok lekor yang lain. Malah, beliau juga ingin memahiri kemahiran membuat keropok keping dan segera.

KEROPOK lekor yang dihasilkan.
KEROPOK lekor yang dihasilkan.