PULAU BETONG – Sebanyak 20 daripada keseluruhan 23 projek penaiktarafan infrastruktur air dalam pelan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) sejak malam tadi telah siap sepenuhnya pada jam 2 petang tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku firma operator air negeri dapat menyiapkan baki tiga projek major berkaitan sebelum 6 petang ini demi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan seperti dirancang.
“Sehingga 2 petang, tahap kemajuan projek telah capai 88 peratus iaitu 20 daripada 23 projek telah siap.
“Tinggal tiga projek dalam proses disiapkan iaitu (projek penaiktarafan paip air merentasi) Sungai Perai; Kampung Teluk dan di Pengkalan Tambang dekat Sungai Dua (yang mana) perlu dihabiskan sebelum 6 petang,” jelasnya seusai meninjau proses pengagihan bekalan air dekat Pangsapuri Rimbun Balik Pulau di sini pada 26 April 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa sepatutnya Kerajaan Negeri melalui PBAPP dan syarikat operator air negeri-negeri lain tidak perlu memobilisasi aset berwajib sepanjang tempoh SWSI pada kali ini, jika semua jenis premis termasuk perumahan berstrata mempunyai tangki simpanan air untuk tempoh mencukupi selama 48 jam.
“Dari insiden-insiden belakangan ini (SWSI), kita harap sudah menyedarkan kita (bahawa) betapa penting aspek pematuhan keperluan tangki (48 jam) di premis masing-masing,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ditemui kemudian memuji persiapan Kerajaan Negeri dan PBAPP dalam memastikan rakyat di sekitar kawasan hujung paip agihan (EoL) tidak terjejas dek pelaksanaan SWSI pada kali ini.
“(SWSI) pada kali ini, kita nampak, dari sudut persiapan tersusun rapi dan kemas,” ulasnya yang juga Pengerusi MyCreative Ventures Sdn. Bhd. iaitu agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi yang ditemui kemudian memberitahu bahawa di kawasan Parlimen Balik Pulau, memang ada beberapa skim perumahan strata lama serta memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan berwajib termasuk tangki air.
“Saya mengambil maklum perkara yang disampaikan oleh Ketua Menteri (iaitu) mengenai peri penting semua jenis premis mesti mempunyai tangki bekalan air 48 jam, pada masa sama, saya juga akan melihat beberapa skim perumahan berstrata lama yang mempunyai masalah tangki,” jelasnya lanjut.
Dalam sidang media berasingan, ADUN Bayan Lepas yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undnagan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz berkata bahawa pihaknya akan cuba memanfaatkan peruntukan tahunan PBAPP RM2 juta dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kerja-kerja penaiktarafan tangki di skim perumahan strata lama di kawasannya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD & MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR