GEORGETOWN – Gabungan Persatuan Usahawan India Muslim Malaysia (GAPEIM) hari ini menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM25,000 kepada 100 penerima daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40), orang kurang upaya (OKU) serta warga emas terpilih di negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sumbangan amal yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut adalah selari dengan nilai ihsan di bawah kerangka Malaysia Madani bagi membantu golongan memerlukan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Saya amat kagum dengan konsistensi GAPEIM yang mana sejak ditubuhkan pada tahun 2018, gabungan 14 persatuan ini bukan sekadar nama di atas kertas, malah majlis amal yang dianjurkan oleh NGO berkenaan adalah jambatan kebajikan.
“Angka (sumbangan zakat bernilai RM25,000) ini mungkin nampak seperti statistik, tetapi bagi seorang ibu tunggal atau seorang warga emas yang uzur, sumbangan yang diterima adalah sinar harapan untuk mereka menyambut Syawal dengan senyuman.
“Inilah nilai Malaysia Madani sebenar, iaitu ihsan yang diterjemahkan melalui tindakan,” jelasnya semasa berucap dalam
.
Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa komuniti India Muslim menerusi GAPEIM turut memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor ekonomi negeri seperti pelancongan makanan, pengurup wang dan perdagangan borang di sekitar Little India dan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Selain itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut memberitahu bahawa prestasi ekonomi negeri bagi tahun 2025 adalah memberangsangkan, dengan rekod pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan bernilai RM22.4 bilion iaitu meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini, menunjukkan keyakinan berterusan pelabur asing dan tempatan terhadap ekosistem industri negeri yang kukuh, tenaga kerja terlatih dan prospek pertumbuhan jangka panjang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa kerjasama erat antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di peringkat Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang Sdn. Bhd. adalah penting bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi hab pelaburan yang kompetitif, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memperkukuh kedudukan negeri dalam rantaian global.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyeru semua pihak supaya memainkan peranan sebagai ‘Ejen Kedamaian’ ketika suasana negera kadang kala dihujani provokasi kaum dan agama, selain memastikan suhu keharmonian terus kekal di Pulau Pinang.
“Pulau Pinang adalah model terbaik yang mana Masjid Kapitan Keling, Gereja St. George, Kuil Sri Mahamariamman dan Tokong Goddess of Mercy boleh berdiri dalam radius yang dekat tanpa sengketa.
“Keunikan ini adalah aset pelancongan dan warisan yang tiada galang gantinya,” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana gigih memastikan indeks jenayah negeri pasa kedudukan yang rendah.
Berucap sebelum itu, Presiden GAPEIM, Hamid Sultan Jabbar memuji kolaborasi antara pentadbiran Kon Yeow dan PDRM dalam menyemarak semangat muhibah serta memastikan ekosistem ekonomi negeri kekal berdaya saing.
ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ketua Polis Negeri, Dato’ Ts. Azizee Ismail; Timbalan Presiden GAPEIM, Munower Sadiq; Setiausaha Kehormat GAPEIM, Abdul Kadir Mohideen Sahib; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kadir dan Presiden Central Muslim Society, Hassan Uthuman antara pemimpin yang hadir dalam majlis amal tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN