Lebih 500 asnaf terima bantuan zakat sempena Ramadan

0eb8fff9 274c 45ec aaa3 b85b017d51b4

PULAU BETONG – Lebih 500 penerima asnaf di sekitar Parlimen Balik Pulau menerima bantuan zakat bernilai RM200 setiap seorang sempena Ramadan menerusi program agihan bantuan yang dianjurkan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, jumlah kutipan zakat bagi Parlimen Balik Pulau pada tahun ini mencecah RM84,000, termasuk sumbangan daripada beliau sendiri bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

“Bantuan tersebut melibatkan bakul makanan bernilai RM100 yang disumbangkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), manakala tambahan RM100 lagi disalurkan dalam bentuk tunai oleh pihak penganjur bagi membantu meringankan beban penerima.

“Program ini merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan bagi membantu golongan asnaf, khususnya dalam menghadapi bulan Ramadan.

“Justeru, kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka, sama ada untuk menampung kos ubat-ubatan atau keperluan harian lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Serahan Zakat di sini pada 13 Mac 2026.

Turut hadir ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah (PDTDBD), Rosli Hassan; Penghulu Kanan PDTDBD, Mohd. Farouk Varusai; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Perlis, Fazil Akashah; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat, Idzham Ahmad; serta Pengerusi Kariah Masjid Kampung Perlis, Tarmizi Ahmad.

4027cc31 9ca2 4e6d b27e 17720f6e4a78
MUHAMMAD Bakhtiar.

Mengulas lanjut, Muhammad Bakhtiar turut memaklumkan bahawa pengagihan bantuan tersebut melibatkan keseluruhan kawasan Parlimen Balik Pulau dengan kerjasama 27 MPKK yang berperanan mengenal pasti penerima yang layak.

“Peranan MPKK amat penting kerana mereka berada pada peringkat akar umbi dan lebih mengetahui keadaan sebenar masyarakat setempat.

“Sebab itu, kita turut memberikan sedikit token dan duit raya kepada pengerusi MPKK sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka membantu mengenal pasti golongan yang memerlukan,” tambahnya.

828211ca 74a8 40f2 bef3 820e75555777

78373537 fd0b 4718 a42f ad0ec93ac47e 76310eed 8b20 4651 84f7 ee4f9264a9e1 e7b14a64 6283 4500 ae4f d25f4786ae30
Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar turut menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan bersifat tambahan kepada bantuan zakat yang turut diberikan oleh agensi lain seperti Zakat Pulau Pinang (ZPP).

“Pendekatan kebajikan yang dilaksanakan adalah bersifat inklusif dan tidak terhad kepada satu kaum atau agama sahaja.

“Sebagai contoh, sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebelum ini, pihak saya turut menyalurkan bantuan kepada masyarakat Tionghoa yang kurang berkemampuan.

“Ketika ini kita memberi tumpuan kepada umat Islam sempena Ramadan, namun sebelum ini ketika Tahun Baharu Cina kita juga membantu masyarakat Tionghoa yang memerlukan,” jelasnya sambil menyatakan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa mengira latar belakang.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: IDZHAM AHMAD & PEJABAT PARLIMEN BALIK PULAU