Ketua Menteri hargai usaha berterusan JBPM dekati masyarakat

Admin
img 20260107 wa0063

BUKIT TAMBUN – Seramai 200 penerima yang tediri daripada anak-anak anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang serta pelajar dari lima sekolah (di negeri ini) menerima sumbangan kelengkapan persekolahan sempena Program Back To School anjuran pasukan keselamatan berkaitan.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam program yang berlangsung dekat Ibu Pejabat JBPM Negeri Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohamad Shoki Hamzah; Pengarah Urusan Hari-Hari Bumijaya Sdn. Bhd., Datuk Amilludin Latip dan Pengerusi Persatuan Usahawan Cina Pulau Pinang, Dr. Lee Eng Kah.

Ketika berucap, Kon Yeow menekankan bahawa penganjuran program tersebut jelas mencerminkan nilai-nilai keprihatinan sosial serta komitmen terhadap masa depan anak-anak negeri Pulau Pinang.

“Saya merakamkan sekalung penghargaan kepada JBPM Negeri Pulau Pinang atas usaha berterusan dalam mendekati masyarakat, bukan sahaja melalui peranan keselamatan, malah melalui inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung.

“Inisiatif murni ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga jabatan, malah diperluaskan kepada pelajar dari lima sekolah berhampiran, sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap komuniti setempat.

“Semangat whole-of-society inilah yang akan memastikan Pulau Pinang terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang progresif, berdaya tahan dan inklusif dengan pembangunan ekonomi seiring keadilan sosial.

“Semoga usaha murni ini terus diperkasa dan menjadi teladan keprihatinan sosial melalui jalinan kerjasama pelbagai pihak demi membentuk Pulau Pinang yang lebih harmoni serta mampan,” katanya.

img 20260107 wa0059img 20260107 wa0061img 20260107 wa0047img 20260107 wa0062

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan adalah pemangkin utama mobiliti sosial dan pembangunan jangka panjang.

Menurut beliau, negeri yang maju bukan hanya diukur melalui ekonomi, tetapi juga melalui peluang pendidikan yang adil untuk semua.

“Justeru, Kerajaan Negeri berusaha memperkukuh aspek pembangunan modal insan dalam bidang teknologi melalui pelancaran 42 Penang Campus di Wisma Yeap Chor Ee yang menawarkan latihan serta kurikulum berasaskan projek dalam pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber yang secara tidak langsung menyediakan generasi muda dengan kemahiran future-ready.

“Malah, pelaksanaan strategi seperti Penang STEM Talent Masterplan menunjukkan fokus kepada pembangunan modal insan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM).

“Secara keseluruhan, platform-platform ini memperkukuh lagi pengambilan tenaga kerja tempatan dan modal insan tempatan bagi menampung peluang-peluang pekerjaan yang wujud hasil daripada suntikan pelaburan berterusan ke negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Mohamad Shoki memberitahu bahawa pelaksanaan program tersebut adalah melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20,000.

“Peruntukan ini disumbangkan oleh Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan JBPM Negeri Pulau Pinang dengan sokongan rakan-rakan strategik jabatan dan penaja-penaja swasta.

“Saya ingin menegaskan bahawa setiap sumbangan yang diterima diuruskan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berakauntabiliti, selaras dengan prinsip tadbir urus baik yang menjadi amalan JBPM,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD