GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini melafaz ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Kesembilan, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib dan Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Datin Seri Noora Ashikin binti Raja Abdullah.
Kon Yeow yang mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang menyeru semua pihak bekerjasama dalam usaha memajukan negeri ini.
“Marilah kita bersama-sama mencipta suasana ekonomi yang subur, mempertingkat daya saing, memperkukuh perkhidmatan awam, merancakkan pelaburan dan membina ekosistem sosioekonomi serta politik negeri yang lebih gemilang.
“Justeru, saya, bersama-sama pucuk pimpinan Kerajaan Negeri pada hari ini, dengan hati yang penuh keikhlasan dan tekad yang membara, sentiasa bersedia, berganding bahu, menabur bakti tanpa lelah, demi memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negeri yang kita kasihi ini.
“Semoga obor perjuangan ini akan terus menyala, membawa sinar harapan dan kejayaan kepada kita semua, demi kemakmuran serta keharmonian negeri yang kita cintai,” ujarnya.
Pada kesempatan sama, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan setinggi-tingginya penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan sejak tahun 2021 untuk negeri yang tercinta ini.
Terdahulu, Kon Yeow yang diiringi isteri, Y.A.Bhg. Puan Tan Lean Kee menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ke-9 di Dewan Sri Pinang di sini.
Sebelum itu, istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita dan disusuli dengan pemeriksaan kawalan kehormatan dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dan diketuai oleh Mejar Mohd. Solleh Kamal bersama-sama SMR Perbarisan Pegawai Waran 1, Mohd. Redzuan Buang.
Istiadat kemudiannya diteruskan dengan pengumuman pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ke-9 oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long yang mana menyaksikan Tun Ramli menandatangani surat cara angkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Yang Arif Dato’ Rozana Ali Yusoff selaku saksi.
Selepas itu, Tun Ramli berkenan menerima anugerah Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama disematkan oleh Kon Yeow.
Usai upacara di Dewan Istiadat, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan menandakan istiadat pada hari ini telah sempurna.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang serta isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta isteri, Datin Noraini Abd. Jalil; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo serta isteri, Belinda Bhar dan barisan Exco Kerajaan Negeri lain antara pimpinan negeri yang turut serta dalam istiadat tersebut.
Difahamkan, Tun Ramli dan isteri akan bergerak menuju ke kediaman rasmi di Anjung Mutiara, Seri Mutiara untuk acara seterusnya iaitu Majlis Serah Tugas.
Sebagai rekod, Tun Ramli menggantikan Tun Ahmad Fuzi yang tamat tempoh jawatan sebagai TYT Pulau Pinang pada 30 April 2025 selepas berkhidmat selama empat tahun.
Sedikit latar belakang mengenai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ke-9, Tun Ramli memulakan kerjaya politiknya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah pada tahun 1978.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Perak Kelapan pada 1 Mac 1983 dan berkhidmat sehingga 2 Disember 1999, menjadikannya Menteri Besar Perak yang paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri tersebut.
Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak dari tahun 1999 hingga 2008.
Dalam tempoh tersebut, beliau turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (1999 – 2004); Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2004 dan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 22 November 2004 hingga 13 Februari 2008.
Berikut adalah senarai Yang Dipertu Negeri Pulau Pinang sejak penubuhan jawatan berkaitan pada 31 Ogos 1957, bersama tempoh perkhidmatan masing-masing:
1. Raja Uda Raja Muhammad
Tempoh: 31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1967
2. Tun Syed Sheh Shahabudin
Tempoh: 31 Ogos 1967 – 31 Januari 1969
3. Tun Syed Sheh Hassan Barakbah
Tempoh: 1 Februari 1969 – 1 Februari 1975
4. Tun Sardon Jubir
Tempoh: 2 Februari 1975 – 30 April 1981
5. Tun Awang Hassan
Tempoh: 1 Mei 1981 – 30 April 1989
6. Tun Hamdan Sheikh Tahir
Tempoh: 1 Mei 1989 – 30 April 2001
7. Tun Abdul Rahman Abbas
Tempoh: 1 Mei 2001 – 30 April 2021
8. Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak
Tempoh: 1 Mei 2021 – 30 April 2025
9. Tun Haji Ramli Ngah Talib
Tempoh : 1 Mei 2025 – kini
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL & AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD, LAW SUUN TING, MUHAMAD AMIR IRSYAD & SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN