Ketua Menteri luncur CCMP, sasar George Town jadi bandar raya berdaya saing masa depan

4565791b 672d 4573 b98f 2d246bdd7415 (Dari kiri) CHEONG Chee Hong, Jason H’ng Mooi Lye, Ketua Menteri, A. Rajendran dan Mohd. Bashir Sulaiman semasa acara gimik sempena majlis peluncuran Pelan Induk Daya Saing Bandar Pulau Pinang (CCMP) di Royale Chulan Hotel dekat Pengkalan Weld di sini pada 18 Ogos 2025.

GEORGE TOWN – Pelan Induk Daya Saing Bandar Pulau Pinang (CCMP) yang diluncurkan pada hari ini diharap bakal menjadikan George Town serta seluruh kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai bandar yang berdaya saing, berdaya tahan, inklusif serta berorientasikan masa depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan amanat tersebut semasa menyempurnakan majlis peluncuran CCMP di sini pada 18 Ogos 2025.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan semalam untuk menangani cabaran hari esok, maka sesi peluncuran Pelan Induk Daya Saing Bandar Pulau Pinang (CCMP) ini hampir tepat pada waktunya iaitu sebagai pelan strategik menyeluruh yang menggariskan keutamaan kita untuk menjadikan George Town dan kawasan pentadbiran MBPP sebagai bandar berdaya saing, berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan masa hadapan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa CCMP ini juga diharap dapat menangani cabaran utama negeri iaitu kesesakan trafik hampir pada semua waktu, di samping kekangan kewangan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan masa depan yang diperlukan rakyat ketika ini serta masa hadapan.

“Kalau anda adalah pelabur asing yang besar dari Amerika Syarikat atau Eropah, (cabaran kesesakan trafik yang begitu teruk di Lebuhraya Utara Selatan, PLUS) ini suatu imej yang bukan kita mahupun kita persembahkan kepada para pelabur.

“Bersyukurlah pelabur-pelabur ini memang sudah bertapak di negeri Pulau Pinang serta memahami keadaan… walaupun begitu, mereka tidak mengambil keputusan untuk keluarkan negeri Pulau Pinang dari senarai bagi mempertimbang lokasi pelaburan besar (mereka),” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Buletin Mutiara difahamkan Pulau Pinang bagi suku pertama tahun 2025 menerima pelaburan berkaitan sektor pembuatan yang diluluskan berjumlah RM6.7 bilion.

Jumlah tersebut adalah mewakili 22 peratus daripada keseluruhan pelaburan pembuatan negara bagi tempoh sama, berjaya menarik sebanyak 36 projek pembuatan baharu yang diluluskan, serta dijangka mewujudkan 4,577 peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia terutama anak muda dari Pulau Pinang.

Dalam bidang ekonomi digital dan teknologi pula, Kerajaan Negeri menerusi pelancaran Pelan Induk Ekonomi Digital (DEMP) 2025-2030 menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM156 bilion menjelang tahun 2030 serta mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan digital baharu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dari segi infrastruktur dan mobiliti bandar, Pulau Pinang berjaya melaksanakan projek ‘bypass’ Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang kini mencapai tahap kemajuan sebanyak 73 peratus.

Bagi projek Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Mutiara pula, beliau menjelaskan bahawa ia telah bermula fasa pembinaan yang dijangka siap pada tahun 2031.

Selain itu, tambahnya, pembukaan fasa pertama Gurney Bay sebagai tuang rekreasi awam bertaraf antarabangsa menandakan komitmen Kerajaan Negeri hari ini ke arah kelestarian dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa CCMP yang diluncurkan bukan sahaja dijadikan panduan strategik bagi MBPP, malah turut menawarkan rujukan penting untuk pelaksanaan inisiatif-inisiatif bandar raya berdaya saing pada peringkat negeri.

Manakala Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran pula menjelaskan bahawa CCMP akan dijadikan panduan hala tuju pembangunan bandar raya berteraskan empat tonggak strategik iaitu mendorong daya saing ekonomi dan inovasi; meningkatkan kualiti kehidupan bandar dan kelestarian alam sekitar; memacu pertumbuhan inklusif dan kesejahteraan komuniti; memperkasa tadbir urus dan kapasiti institusi.

Sementara itu, Ketua Kajian CCMP, Datin TPr. CA Cheng Hui Lin dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, TPr. Gs. Mohd. Bashir Sulaiman atas kolaborasi bersepadu sehingga siapnya dokumen induk pelan serta hala tuju kemajuan bandar raya tersebut.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi; Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan barisan Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD