Ketua Menteri mahu PDC kekal fokus projek berimpak tinggi

Admin
7ac7c1a8 7c6a 4ac6 8b3d 27493c366252 KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi barisan pemimpin negeri lain menyertai acara penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada salah seorang penerima terpilih, semasa berlangsungnya Majlis Sambutan Deepavali anjuran PDC di sini menjelang tengah hari tadi.

BAYAN LEPAS – Barisan pengurusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diseru supaya terus memberi tumpuan penuh terhadap agenda teras pembangunan bagi mendepani peluang serta cabaran masa depan negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, fokus tersebut merangkumi penyediaan tanah bagi tujuan pembangunan industri dan komponen pembangunan lain, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sokongan pelaburan, di samping menunaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

“Pagi tadi, kita baru sahaja menyempurnakan mesyuarat Lembaga Pengarah, dan sememangnya kita sedang berdepan dengan masa depan yang sarat dengan pelbagai kesempatan, namun dalam masa yang sama turut hadir dengan cabaran tersendiri.

“Justeru, saya berharap pasukan pengurusan dapat memberi tumpuan khusus kepada penyediaan tanah industri dan komponen berkaitan, memperkukuh infrastruktur bagi menyokong kemasukan pelaburan, serta tidak sesekali melupakan tanggungjawab sosial kepada negeri Pulau Pinang.

“Inilah acuan pembangunan yang mahu kita jayakan menerusi Visi Penang2030, iaitu memastikan kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal bergerak seiring dengan peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali anjuran PDC di sini menjelang tengah hari tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Abdul Latiff Abd. Aziz.

816a5cd6 9be7 471b 8601 1992bcc1954d f37c55e9 73d9 4851 925c 80b7a35d018e 05dfdcb1 1302 4983 a708 fc90fcae61ae ab55f8dd 6f6d 462e 9af9 6ffad44d97c4Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menegaskan bahawa selaku agensi pembangunan utama negeri, PDC memikul amanah besar dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh sektor perindustrian Pulau Pinang.

Menurut beliau, prestasi ekonomi negeri terus berada pada landasan memberangsangkan apabila merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.3 peratus pada tahun 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM130.3 bilion, meningkat berbanding RM121.4 bilion pada tahun sebelumnya.

“Momentum positif ini berterusan apabila bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sahaja, Pulau Pinang berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM20.2 bilion yang bakal mewujudkan 20,216 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi menyokong lonjakan pertumbuhan ini, beberapa projek berimpak tinggi sedang giat dirancang dan dilaksanakan merangkumi Penang International Logistics Aeropark (PILA), Koridor Baharu Seberang Perai Tengah seluas 1,578 ekar, Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3), serta Taman Teknologi Bandar Cassia.

“Selain itu, Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP 2) di Byram pula kini berada di peringkat perancangan dan dibangunkan oleh PDC sendiri, lengkap dengan pembangunan Medi-City, kemudahan penginapan pekerja Cassia Gardens serta projek takungan air Bandar Cassia bagi menjamin bekalan air yang mampan untuk keperluan industri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Tambah beliau, projek penginapan pekerja Cassia Gardens di Bandar Cassia yang menelan kos RM116 juta itu bakal menyediakan penempatan selesa kepada seramai 6,750 pekerja.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja PDC atas dedikasi yang dicurahkan dan menyeru agar budaya kerja berpasukan, profesionalisme serta integriti terus dibudayakan demi menjayakan setiap perancangan organisasi.

Beliau turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Persatuan Hindu PDC atas penganjuran majlis sambutan berkenaan serta inisiatif pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS