KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi Abdul Rahman Abdul Kader Kader (kiri sekali) dan Abdul Malil Abdul Kadir serta beberapa pemimpin Persatuan Hidayatul Islam lain menyampaikan sumbangan bantuan sempena menyambut Ramadan kepada salah seorang penerima terpilih di sini sebentar tadi.
GEORGE TOWN – Persatuan Hidayatul Islam hari ini menyampaikan sumbangan bakul makanan dan baucer tunai berjumlah RM6,000 kepada 30 asnaf fakir miskin.
Sumbangan itu disampaikan dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Dewan Banquet Alam Indah, Jalan Hutton dekat sini pada 27 Februari 2026.
Semasa berucap, Kon Yeow berkata bahawa inisiatif sumbangan yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut bukan sekadar angka dan simbolik sempena sambutan bulan Ramadan semata-mata.
“(Penyampaian sumbangan) ini adalah bukti bahawa dalam kita mengejar kemajuan, kita tidak pernah melupakan mereka yang memerlukan.
“Ini kerana, Ramadan mengajar kita bahawa kekuatan sesebuah masyarakat diukur bukan pada yang paling kuat, tetapi sejauh mana kita membela yang paling lemah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada majlis berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini juga sebenarnya senantiasa melaksanakan pendekatan komprehensif dengan memberi pelindungan sosial kepada golongan terpilih agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.
“Misalnya, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dan meneruskan program i-Sejahtera dengan peruntukan berjumlah puluhan juta Ringgit untuk menyokong kesejahteraan masyarakat termasuk bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang memerlukan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang turut menyediakan sistem sokongan seperti bantuan sara hidup, pendidikan dan sokongan keusahawanan terus kepada golongan asnaf dan kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).
“Kita mahu melihat keluarga yang sebelum ini bergantung kepada saluran bantuan, akhirnya mampu berdikari dengan yakin, membina masa depan anak-anak dengan lebih cerah dan bermaruah,” ujarnya.
Manakala pada peringkat nasional pula, beliau berkata bahawa Kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13 yang diluluskan turut memberi tumpuan pendekatan pembangunan yang berteraskan keterangkuman dan kemampanan demi memastikan manfaat pembangunan diagih secara adil merentas kelas sosial serta wilayah.
Presiden Persatuan Hidayatul Islam, Abdul Rahman Abdul Kader turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PERMIM), Abdul Malik Abdul Kader; Penasihat Persatuan Hidayatul Islam merangkap Presiden Central Muslimn Society (CMS), Hassan Othuman; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader; dan Setiausaha Kehormat PERMIM, Adam Malik Shahul Hamid.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN