Ketua Menteri puji insiatif NGO gigih agih sumbangan libat asnaf setempat

KETUA Menteri (tengah) diiringi barisan pemimpin NGO pada acara gimik penyampaian bantuan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima terpilih di sini petang ini.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil hari ini menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 200 asnaf terpilih dalam majlis dekat Dewan Bangunan Kesatuan Muslim Bersatu (UMA), Komtar di sini.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam melaksanakan program amal sungguhpun baru ditubuhkan pada tahun 2017.

“Sepanjang tahun 2020 sehingga kini, hampir 500 orang daripada masyarakat setempat telah menerima bantuan kewangan serta barang keperluan asas.

“Pada hari ini, saya difahamkan seramai kira-kira 200 penerima asnaf telah dipilih…semoga dengan bantuan ini ia dapat mengukir senyuman kegembiraan dan memberi sinar harapan kepada mereka ketika menyambut Ramadan serta persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlinen Tanjong.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Asri Seeni Mohamed sebelum itu berkata bahawa pihaknya akan terus memberi sokongan kepada pentadbiran Kon Yeow dalam melaksanakan acara-acara kebajikan di bawah Visi Penang2030 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; Penaung Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Azmin Seena Mohamed dan Presiden NGO Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader antara pemimpin yang hadir pada acara majlis jamuan berbuka puasa meraikan asnaf terpilih berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD