Ketua Menteri puji keberanian Anwar mahu kuat kuasa had jawatan PM 10 tahun serta-merta

Admin
4bb07d83 aea6 4ea5 99d8 dfdc78700315 KETUA Menteri (tiga dari kanan) memberi angpau kepada kanak-kanak yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Batu Kawan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon di sini pada 28 Februari 2026.

BUKIT TAMBUN – Jika pindaan Perlembagaan bagi menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikuat kuasa serta-merta, bermakna Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim sendiri mempunyai baki sepenggal atau maksimum lima tahun lagi untuk memegang jawatan tersebut, sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji iltizam politik serta keberanian Anwar yang mahu menunaikan janji politik sempena PRU15, sebelum Kerajaan Persekutuan hari ini dibubarkan.

“Saya mahu puji Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim sebab dalam pindaan Perlembagaan ini, sekiranya diluluskan dan dikuat kuasa secara serta-merta, maksudnya tempoh sepenggal Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim telah menjadi Perdana Menteri akan diambil kira,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Batu Kawan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon di sini pada 28 Februari 2026.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berharap sekalian rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang, demi kelangsungan agenda reformasi institusi yang dilaksanakan ini.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang; Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan barisan jemputan lain.

Terdahulu, pada 23 Februari lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sambil memaklumkan bacaan kali kedua dijangka berlangsung minggu berikutnya.

Menurut naskhah biru, RUU itu bertujuan meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan fasal baharu (2a) yang memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik di bawah perenggan (2)(a) Perkara 43 tidak boleh pada bila-bila masa memegang jawatan itu selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah lebih daripada 10 tahun sama ada terus-menerus atau selainnya.

RUU itu turut memasukkan fasal baharu (4a) hingga (4d) di bawah Perkara 43, dengan (4a) nemperuntukkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan apabila amat tempoh yang pada agregatnya berjumlah 10 tahun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN