GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini merasmikan Perpustakaan Digital Bukit Tambun yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM70,000.

Semasa berucap, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri komited memperkukuh ekosistem pendidikan, literasi digital, dan pembelajaran sepanjang hayat pada peringkat komuniti.
Menurut beliau, dengan adanya kemudahan baharu tersebut, ia bukan sekadar ruang membaca, malah merupakan ‘hab teknologi komuniti’ yang menyediakan akses kepada e-buku, pangkalan data digital, komputer awam, capaian internet berkelajuan tinggi serta ruang pembelajaran kreatif yang kondusif.
“(Perpustakaan Digital Bukit Tambun ini merupakan) komitmen berterusan dalam memperluas akses kepada teknologi dan kemudahan pembelajaran berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.
“Melalui kemudahan ini, para pelajar akan memperoleh manfaat daripada sumber pembelajaran tambahan secara digital dan interaktif, manakala golongan belia pula berpeluang mengasah kemahiran digital dalam bidang teknologi asas, kreativiti digital, pengaturcaraan serta keusahawanan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Balai Raya Bukit Tambun di sini pada 7 Disember 2025.
Difahamkan, pada 8 Oktober 2016, Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) yang sulung diwujudkan dengan menukar guna sebuah banglo dua tingkat lama di perkarangan Penang Free School.
Di negeri ini, kini mempunyai fasa 1 dan 2 PDL dekat Penang Free School; Perpustakaan Digital Butterworth dekat Parlimen Bagan dan Penang Islamic Digital Library (PIDL) dekat Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) serta Kompleks Masjid Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus memberi tumpuan pada agenda pembangunan bakat, pemerkasaan modal insan serta keterangkuman sosial sebagaimana digagaskan dalam Visi Penang2030.
“Kita (Kerajaan Negeri hari ini) mahu memastikan setiap komuniti, termasuk kawasan luar bandar dan separa bandar seperti Bukit Tambun, tidak tercicir daripada pembangunan arus digital serta kemajuan teknologi.
“Inilah gambaran Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaya saing, inklusif, pintar dan berpaksikan inovasi,” jelasnya.
Mengakhiri ucapan perasmian, Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa usaha mewujudkan perpustakaan digital tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu dan penguasaan kemahiran digital, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berdaya tahan dan progresif bagi masa depan negeri.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tambun, Chew Kean Nam; Pengerusi MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun, Ester Oh; Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon, Tan Saw lmma dan sekalian penaja projek turut hadir pada majlis perasmian Perpustakaan Digital Bukit Tambun di sini sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAH
Gambar : SIEW CHIA EN