Ketua Menteri saran DRT MBPP 2035 diselaraskan dengan RSNPP 2040

Admin
whatsapp image 2025 08 15 at 10.33.53

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mencadangkan supaya Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (DRT MBPP) 2035 diselaraskan dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau (RSNPP) 2040 yang kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

Beliau mengemukakan cadangn itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sesi Libat Urus Peta Cadangan Zoning DRT MBPP 2035 dekat sini sebentar tadi.

“Segala pelan pembangunan di Pulau Pinang adalah mengikuti proses-proses wajib.

“Walaupun sehingga kini kita masih belum mempunyai draf Rancangan Tempatan (bagi tempoh sehingga 2035), tetapi segala pelan pembangunan di Pulau Pinang adalah masih berpandukan kepada pelbagai garis panduan yang diwujudkan dalam RSNPP 2040.

“(Dan) memandangkan RSNPP adalah sehingga 2040, adakah DRT MBPP juga boleh diselarikan supaya Rancangan Tempatan dan RSNPP menjadi pelan pembangunan bagi tempoh yang sama,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

whatsapp image 2025 08 15 at 10.33.53 (2)whatsapp image 2025 08 15 at 10.33.54 (1)whatsapp image 2025 08 15 at 10.33.57

Kon Yeow menyatakan bahawa DRT MBPP 2035 merupakan satu dokumen strategik yang bakal menjadi panduan utama dalam pengurusan pembangunan fizikal, ekonomi, sosial serta alam sekitar dalam kawasan pentadbiran MBPP pada masa akan datang.

“Oleh itu, sesi libat urus yang dijalankan hari ini merupakan plafform penting dalam memastikan proses perancangan bandar bukan sahaja bersifat top-down, malah responsif terhadap keperluan rakyat.

“Malah, saya dimaklumkan bahawa sebanyak 12 sesi libat urus telah dijalankan oleh MBPP melibatkan pelbagai pihak dari dalam dan luar agensi bagi menerapkan pendekatan perancangan yang telus, terbuka serta inklusif ke arah penyediaan draf rancangan ini.

“Lazimnya, saya amat menggalakkan supaya libat urus ini diteruskan bukan hanya pada peringkat dasar, malah juga pada peringkat pelaksanaan kelak,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, Tpr. Gs. Mohd. Bashir Sulaiman.

Sementara itu, Mooi Lye ketika berucap sebelum itu mengingatkan pihak MBPP dan perunding dilantik agar mengambil kira segala keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) semasa penediaan DRT MBPP 2035.

“Dalam perancangan pembangunan, antara cabaran utama yang sering dihadapi termasuk keadaan trafik, perancangan perumahan, penyediaan kemudahan asas masyarakat serta penyediaan kawasan lapang dan tanah rekreasi.

“Semua aspek ini perlu diberi perhatian serius agar perancangan masa hadapan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.

“Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil kira permintaan dan keperluan yang timbul akibat peningkatan populasi dan perkembangan zaman,” ulasnya.

Rajendran ketika ditemui selepas itu menyatakan bahawa MBPP akan berusaha untuk menyelaraskan DRT MBPP 2035 dengan RSNPP 2040 sebagaimana yang disarankan oleh Ketua Menteri.

“RSNPP 2040 merupakan dokumen utama yang menjadi garis panduan kepada rancangan tempatan, jadi kami mahu DRT MBPP yang dikeluarkan adalah selari dengan pelan rancangan negeri secara keseluruhannya.

“Oleh itu, MBPP menjangkakan bahawa DRT MBPP 2035 hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada Julai 2026,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN