BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) kepada 463 pelajar unggul akademik sekitar kawasan Parlimen Batu Kawan.
Pelajar sekolah rendah masing-masing menerima RM100; RM150 kepada pelajar tingkatan 1 hingga 4; RM300 kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malasysia (SPM) dan RM500 kepada penuntut cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).


Sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan, Kon Yeow berkata bahawa inisiatif tersebut adalah suatu bentuk penghargaan yang signifikan atas usaha serta kegigihan pelajar memburu kecemerlangan akademik di sekolah masing-masing.
“Penyampaian trofi dan sijil kepujian kepada setiap penerima anugerah turut menyerlahkan usaha pihak Kerajaan Negeri untuk meraikan kejayaan akademik secara menyeluruh dan inklusif, tanpa mengira latar belakang atau keadaan sosioekonomi.
“Inisiatif ini juga menggambarkan keyakinan Kerajaan Negeri bahawa setiap pelajar yang berusaha wajar diberi pengiktirafan serta galakan dalam perjalanan mereka mencapai kecemerlangan,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 5 September 2025.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Racheal Teh Chuann Yien turut sertai Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Parlimen Batu Kawan Sesi Persekolahan 2024 tersebut.
Selain itu, Kon Yeow turut menasihatkan sekalian penerima APC bahawa kejayaan yang dicapai pada hari ini bukanlah noktah dalam perjalanan hidup, sebaliknya adalah permulaan kepada cabaran yang lebih besar.
Justeru, nasihatnya lagi, para pelajar mesti teruskan usaha, tingkatkan disiplin diri, dan jangan mudah berputus asa.
“Jadilah pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut unggul dari sudut sahsiah serta nilai insaniah,” serunya yang juga ADUN Padang Kota.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu sekalian waris pelajar cemerlang akademik di sini bahawa Kerajaan Negeri di bawah kerangka Visi Penang2030, akan terus memberi keutamaan kepada aspek pendidikan berkualiti, keterangkuman sosial dan pembangunan modal insan.
“Pulau Pinang terus menunjukkan pencapaian yang membanggakan, Selaras dengan Tema A Penang2030 yang menekankan peningkatan daya huni serta kualiti hidup rakyat.
“Ini dapat dilihat melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini yang mencatatkan peningkatan menggalakkan iaitu seramai 819 calon berjaya memperoleh semua A, manakala kadar kelayakan menerima sijil meningkat kepada 93.67 peratus berbanding 92.64 peratus pada tahun sebelumnya,” ujarnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD