Ketua Menteri seru kementerian, agensi bertanggungjawab pantau projek tersenarai dalam setiap RMK

Admin
img 20250811 wa0054

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru agar setiap kementerian dan agensi bertanggungjawab terus memantau projek-projek tersenarai dalam setiap Rancangan Malaysia (RMK), termasuk yang dibentangkan sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa komitmen berterusan itu penting untuk memastikan setiap projek yang disenaraikan dalam RMK tidak terkubur, sebaliknya berjalan mengikut pelan perancangan ditetapkan.

“Saya teramat ingin melihat pelaksanaan setiap RMK yang dirancang akan membawa negara kita ke hadapan dalam perjalanan mencapai status negara yang lebih maju.

“Jujurnya, pelaksanaan setiap RMK tidak akan mencapai matlamat sebenar sekiranya masalah struktural yang disebut di atas tidak dapat diatasi dengan berkesan.

“Oleh itu, rakyat mengharapkan piawaian yang lebih tinggi dalam pelaksanaan, tadbir urus, demokrasi dan kebebasan sivil terhadap segala polisi serta perancangan yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) di Dewan Rakyat dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan bahawa kemajuan ekonomi sesebuah negara perlu disertai dengan peningkatan dalam kebebasan bersuara, tadbir urus baik serta penghormatan terhadap hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kegagalan memenuhi jangkaan ini adalah amat berisiko menimbulkan rasa tidak puas hati yang boleh dieksploitasi oleh naratif ekstremis.

“Sebaliknya, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan diperkukuh apabila perbezaan pendapat tidak ditakuti tetapi dialu-alukan, dan apabila institusi demokrasi menunjukkan kebebasan serta integriti mereka,” ujarnya.

Mengimbau perjalanan yang bakal melangkau 40 tahun dalam arena politik, Kon Yeow menyatakan bahawa masih banyak polisi serta dasar kerajaan yang perlu diperbaiki untuk membolehkan Malaysia mencapai status negara maju.

“Melihat, memperjuangkan serta membentuk polisi kerajaan bagi tempoh yang begitu panjang bagi kemajuan pembangunan negeri dan negara, saya merasakan bahawa banyak lagi yang wajar diperbaiki untuk kita mencapai status negara maju.

“Lihat sahaja negara-negara jiran di rantau Asia yang telah mencapai status negara maju walaupun turut dibelenggu permasalahan sendiri.

“Kenapa kita tidak mampu mencapai status tersebut, adakah kita masih terikat dengan belenggu struktur dalam sistem politik, ekonomi, nilai sosial, agama dan persaingan perkauman sehingga menghalang kita untuk mencapai potensi sebagai negara maju,” soalnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa setiap negeri memainkan peranan penting dalam menyokong pencapaian prestasi yang lebih baik pada peringkat negara.

Pulau Pinang menurut beliau, sedia membantu Kerajaan Persekutuan dalam mencapai matlamat yang ditetapkan, khususnya untuk melonjak pertumbuhan ekonomi, mengangkat darjat hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola baik ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.

“Intipati RMKe-13 yang ditunjangi peralihan kepada pendigitalan, teknologi termaju serta pembentukan sistem sosial berteraskan insan MADANI juga dilihat dapat membantu mempercepat pencapaian Visi Penang2030.

“Justeru, Pulau Pinang akan terus menggembleng sumber dan penyertaan rakyat untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi, meningkatkan pengaruh serta imej positif negara di persada dunia.

“Di samping itu, kami juga berusaha untuk memastikan kehidupan rakyat akan lebih sejahtera serta alam sekitar yang lestari sebagaimana diaspirasikan,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD