Ketua Menteri seru penglibatan menyeluruh dalam kajian semula RSNPP2040

whatsapp image 2025 12 10 at 14.45.04

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru penyertaan aktif semua pemegang taruh dalam proses penyediaan semula Kajian Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP2040) yang kini dalam fasa publisiti dan penyertaan awam.

Beliau berkata, proses publisiti dan penyertaan awam berkaitan bukan sekadar suatu keperluan perundangan, malahan merupakan mekanisme utama untuk memastikan perancangan pembangunan negeri mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Rancangan Struktur Negeri merupakan dokumen dasar pembangunan jangka panjang yang dikaji semula pada setiap 10 tahun.

“Justeru, publisiti yang diadakan kini memberi peluang kepada rakyat termasuk pertubuhan dan sektor swasta untuk mengemukakan cadangan atau maklum balas demi masa depan Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua supaya mengambil peluang ini sama ada mewakili individu, persatuan mahupun pertubuhan atau sektor-sektor tertentu untuk memberi maklum balas atas perkara yang dicadangkan dalam RSNPP2040,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Kewangan Tabung Amanah / Peruntukan Khas Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2025 di Komtar pada 10 Disember 2025.

whatsapp image 2025 12 10 at 14.45.04 (1)
KETUA Menteri ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Kewangan Tabung Amanah / Peruntukan Khas Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2025 di sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa proses publisiti dan penyertaan awam adalah komponen penting untuk memastikan RSNPP2040 benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat termasuk dari segi keperluan pembangunan infrastruktur mampan

Dalam pada itu, ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung dasar pembangunan cerun yang dikaji semula, Kon Yeow memaklumkan bahawa garis panduan pembangunan di kawasan cerun atau tanah tinggi termasuk had ketinggian 250 kaki (76 meter) di atas paras laut telah lama diguna pakai.

Kita (Kerajaan Negeri) tidak mendapat sebarang justifikasi ketetapan had ketinggian tersebut, namun jika dilihat kepada negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan misalnya, had ketinggian ditetapkan pada 500 kaki (di atas paras laut).

“Walau bagaimanapun, ia hanyalah cadangan dan sesiapa sahaja boleh memberi pandangan termasuk badan-badan professional seperti institut kejuruteraan,arkitek dan perancangan bandar dan desa,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri sebelum ini pernah membenarkan projek istimewa berkepentingan awam yang melebihi had dilaksanakan setelah menerima pandangan serta tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye hadir merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Tinjauan RSNPP2040 (Kajian Semula) di Aras 3 Komtar pada 9 Disember 2025.

Pada majlis berkaitan, Mooi Lye menyatakan bahawa kajian tersebut melibatkan pelbagai agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, institusi akademik serta pertubuhan masyarakat.

“Program libat urus awam ini menjadi teras penting agar pandangan rakyat dapat diterjemahkan ke dalam dasar dan strategi pembangunan negeri.

“Selepas ini, kajian akan diteruskan ke fasa penyediaan draf yang dijangka siap pada tahun 2026 dengan memastikan input dan pandangan semua pihak diambil kira sebelum dimuktamadkan untuk pewartaan,” katanya semalam.

Sebagai makluman, Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Tinjauan RSNPP2040 (Kajian Semula) sedang berlangsung bermula 24 November sehingga 23 Disember 2025.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN