Ketua Menteri terima kunjungan hormat Setiausaha Kerajaan Negeri baharu

Admin
DR. Ahmad Jailani Muhamed Yunus (kiri) semasa sesi kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri tadi.

GEORGE TOWN – Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, 59, yang baru dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi.

Beliau diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd Hanapiah. Turut serta, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Dalam perbincangan tertutup kira-kira 30 minit, Ahmad Jailani antara lain berkongsi mengenai hasil kajian akademik dalam bidang pemuliharaan alam sekitar termasuk di lembangan Sungai Pinang.

“Salah satu kajian saya (peringkat doktor falsafah) adalah mengenai Sungai Pinang, dan kini saya (dicaturkan) ke Pulau Pinang,” ujarnya sambil berharap beliau dapat membantu pentadbiran Kon Yeow dalam meningkatkan mutu perkhidmatan Kerajaan Negeri secara keseluruhan.

Sebelum melaporkan diri ke Pulau Pinang, Ahmad Jailani merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Merupakan anak kelahiran negeri Perak dan merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam Env. Management and Landscape Ecology dari Universiti Hiroshima, Jepun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR