Kibarlah Jalur Gemilang di mana-mana sahaja – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM – Kibarkan Jalur Gemilang dengan semangat kepelbagaian kaum sempena ulangtahun ke-57 Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos ini serentak dengan keraian Hari Malaysia pada 16 September depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, kemajmukan kaum dan agama di Pulau Pinang mesti terus dijadikan kekuatan bersama bukan hanya pada sambutan bulan Merdeka ini sahaja.

“Biarlah perbezaan kaum dan agama menjadi tonggak kekuatan dan bukan merupakan kelemahan serta kekurangan kepada masyarakat berbilang bangsa di Pulau Pinang.

“Saya berharap semangat patriotisme tidak berhenti setakat ini sahaja, kibarlah Jalur Gemilang di mana-mana sahaja,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang turut berucap pada majlis keraian tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Exco-Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri) dan kepemimpinan negeri lain.

Istiadat kibarkan Jalur Gemilang, koir lagu-lagu patriotik dan deklamasi sajak merupakan antara acara pentas menarik pada keraian kali ini.

Tidak cukup dengan itu, Pertandingan Mewarna Kemerdekaan, melukis, Kuiz Kemerdekaan, permainan dam gergasi turut dianjurkan demi menyemarak semangat patriotisme dalam kalangan warga di negeri ini.