KM harap Larian Penang promosi Seberang Perai

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Penganjuran Larian Pulau Pinang saban tahun di Seberang Perai diharap dapat mempromosi lagi ketiga-tiga daerah berkenaan setanding dengan bahagian pulau Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Penang 2014/2015 Edisi Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Kami sangat bangga dengan 1,680 peserta daripada 13 negara yang mempunyai stamina dan semangat yang sebenarnya seluruh rakyat Pulau Pinang perlu ada.

“Kalau tak dapat nombor satu pun, yang penting mesti ada komitmen untuk menghabiskan larian, kerana inilah falsafah hidup yang mesti kita ada.

“Macam penganjuran kejohanan terbuka disertai peserta peringkat antarabangsa ini, sudah cukup untuk menunjukkan semangat kita (Kerajaan Negeri) agar Seberang Perai kini adalah masa depan Pulau Pinang,” ujarnya di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda di sini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri , ADUN Machang Bubuk), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP).

Difahamkan, Larian Pulau Pinang kali ketiga ini pada 11 Januari lepas diadakan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) selepas acara seumpama itu diadakan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing pada 1 Jun dan 26 Oktober tahun lepas.

Tiga acara dianjurkan pada pertandingan kali ini, iaitu Maraton Penuh sejauh 63 kilometer (km), Separuh Maraton 23km dan larian ria untuk keluarga.

Guan Eng menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang termasuk majlis cabutan bertuah yang diadakan pada penghujung majlis berkenaan

} else {