KM harap Tahun Kambing Kayu gagahkan ekonomi negeri

PERMATANG PASIR– Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sambutan Tahun Baru Cina dengan kedatangan Tahun Kambing Kayu pada kali ini diharap akan terus memakmurkan ekonomi negeri.

Beliau berkata demikian pada penganjuran Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Permatang Pauh Bersama-Sama Komuniti Samagagah di sini baru-baru ini.

“Tahun Kambing Kayu ini membawa maksud yang sangat penting, iaitu semangat keadilan dan kesejahteraan untuk semua kita.

“Nama tempat ini pun Samagagah, maka rakyat dan Kerajaan Negeri akan kita gagahi untuk memajukan ekonomi negeri ini, dengan kita memberi tumpuan yang lebih untuk meningkatkan mutu pendidikan generasi akan datang,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam dalam ucapannya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu rekod Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mendedahkan bahawa pelaburan Pulau Pinang direkodkan ketiga tertinggi di belakang Johor dan Sarawak.

Pelaburan Pulau Pinang bagi tahun 2014 direkodkan sebanyak RM8.2 bilion (RM8,162,372,366), berbanding RM3.9 bilion (RM3,912,256,265) pada tahun 2013.

“Pelaburan meningkat kira-kira 109 peratus berbanding tahun 2013,” jelas beliau.

Istiadat “yee sang” dan “lo hei”, upacara memberi penghormatan kepada nenek-moyang serta persembahan pentas dengan lagu-lagu kebudayaan etnik turut dilangsungkan di depan hampir 500 tetamu.

Dinamakan sebagai Tahun Kambing Kayu adalah merujuk kepada zodiak kelapan daripada 12 zodiak dalam Kalendar Cina, yang disinonimkan dengan nilai keuntungan, kemakmuran dan pendamaian.

Tahun Kambing dikatakan membawa signifikan tersendiri, iaitu diasosiasikan dengan keadilan dan kesejahteraan dalam mendepani cabaran mendatang.