Naiktaraf saliran elak banjir kilat

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Kekerapan kejadian banjir kilat yang sering melanda Jalan Logan yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMKP) Methodist sejak 10 tahun lalu dipercayai mampu diatasi setelah siapnya projek tebatan banjir di kawasan berkenaan hingga ke Jalan Anson di sini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, projek menaiktaraf saliran tersebut adalah merangkumi pembesaran longkang sedia ada dari 0.3 meter (m) kepada 0.9m dan 1.5m lebar.

“Selepas kerja menaiktaraf dilakukan, keupayaan longkang tersebut menyimpan dan mengalirkan isipadu air dapat ditingkatkan tertutama apabila berlaku hujan lebat.

“Selain itu, projek sepanjang 360 meter ini turut termasuk inisiatif menaiktaraf kotak longkang pembentungan supaya keberkesanannya lebih efektif,” jelasnya ketika mengadakan lawatan ke lokasi berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Gabenor SMKP Methodist, Datuk Kee Phaik Cheen.

Projek yang dimulakan pada Oktober 2014 dianggarkan bakal mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan oleh kontraktor dilantik, Kontraktor Perniagaan Kongsi Maju.

Menurut Kon Yeow, projek tersebut boleh dikatakan lebih 90 peratus siap selain pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) perlu menunggu pengalihan paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bawah tanah di persimpangan Jalan Anson – Jalan Logan kini.

“Projek bernilai RM 340,000 (peruntukan Caruman Saliran Negeri Pulau Pinang) ini, selain mengurangkan takungan air, ianya juga memberi manfaat terhadap laluan pejalan kaki yang turut dinaiktaraf sambil dilengkapi kemudahan laluan untuk golongan cacat penglihatan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Phaik Cheen memberitahu, hujan lebat yang melanda di kawasan berkenaan pada awal Mac baru-baru ini menunjukkan tiada sebarang kejadian banjir kilat berlaku.

“Situasi berkenaan sedikit sebanyak menunjukkan keberkesanan projek tebatan banjir ini.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Kerajaan Negeri terutamanya Kon Yeow kerana bertindak cepat mengatasi masalah ini,” ujar beliau