KM puji Pusat Haemodialisis CAT Masjid At-Taqwa buka pintu kepada semua

BERTAM – Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri menyempurnakan acara perasmian pembukaan Pusat Haemodialisis CAT, kendalian Persatuan Kebajikan Masjid At-Taqwa dekat Tamam Bertam Indah di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap memuji keterbukaan jawatankuasa kariah masjid membuka pintu masjid kepada bukan Islam untuk turut menerima rawatan berwajib secara berkala di sini.

Katanya, keterbukaan itu bukan sahaja menyerlahkan maksud Islam Rahmat Ke Seluruh Alam kepada semua pihak, bahkan mampu menghakis fahaman rasis dan melampau yang ditajamkan oleh pihak pembangkang.

“Saya memuji Jawatankuasa Kariah Masjid AtTaqwa yang membuka pintu kepada semua pesakit tak kira bangsa, agama dan latar belakang.

“Ini sama sekali menolak fitnah-fitnah pihak tertentu yang nak memberikan gambaran Islam atau masjid yang tidak baik,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada majlis berkaitan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan memberitahu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta bagi kerjasama selama tiga tahun sehingga 2018 dengan Pusat Haemodialisis CAT Masjid At-Taqwa dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan MAA Medicare Dialysis Centre dekat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), agar pesakit yang tidak berkemampuan berpeluang mendapatkan rawatan berjadual di kedua-dua daerah tersebut.

Sebelum itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, bayaran dikenakan serendah RM110 bagi setiap sesi rawatan adalah kerana Kerajaan Negeri menanggung kos RM30 lagi secara subsidi kesihatan.

Menurut Afif, beliau bersetuju dengan Guan Eng bahawa usaha mereformasikan bidang perubatan di Pulau Pinang ke taraf antarabangsa dengan menjadikan negeri ini sebagai bandar perubatan akan lebih bermakna apabila semua penduduk, khususnya golongan yang tidak berkemampuan berpeluang mendapatkan rawatan sewajarnya.

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid At-Taqwa, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman merakamkan penghargaan atas pemberian sumbangan Kerajaan Negeri berupa lima buah mesin dialisis berharga RM222,500 di Pusat Haemodialisis CAT Masjid At-Taqwa.

Dan kini, tambahnya, dalam proses mendapatkan lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kini, seramai 34 pesakit mendapatkan rawatan dialisis dalam tiga pusingan, setakat ini kita sudah ada menerima seorang pesakit berbangsa Cina dan seorang pesakit berbangsa India,” jelas beliau.