Pupuk budaya sihat, KN akan bantu penjawat awam terjebak pinjaman ah long – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng akan membantu kakitangan Kerajaan Negeri yang terlibat hutang dengan ah long, supaya memulangkan jumlah pinjaman ‘pokok’ sahaja.

Mengulas lanjut, beliau berharap inisiatif tersebut dapat mengelakkan pihak ah long daripada membuat pinjaman kepada penjawat awam negeri ini.

“Yang penting adalah keadaan ekonomi agak gawat dan semua terdesak kerana wang tak cukup, maka, kita akan bantu pegawai kerajaan.

“Sekiranya mereka pinjam daripada ah long, kita akan pastikan mereka bawa jumlah pinjaman pokok sahaja, biar ah long tak beri pinjaman kepada pegawai kerajaan kerana hanya dapat pokok pinjaman sahaja,” katanya pada sesi ucapan dan sidang media Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bersama Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus menyatakan bahawa pihaknya telah mengarahkan semua ketua jabatan supaya menyemak semua rekod pemotongan pinjaman atas penyata gaji, khususnya mereka yang meminjam lebih 60 peratus daripada kadar gaji pokok.

“Sebenarnya pada ketika ini, saya nak maklum kepada semua ketua jabatan supaya meneliti semua pegawai-pegawai daripada gred terendah hingga tertinggi.

“Bagi pinjaman melebihi 60 peratus daripada gaji pokok, ini adalah kumpulan-kumpulan yang berisiko terjebak dengan pinjaman ah long.

“Kita sudah minta kumpulan ini disenaraikan dan kalau perlu dibuat konsultansi satu persatu dengan integriti yang tinggi, iaitu ketua pegawai sendiri diminta bertanya (sendiri) kepada mereka berkenaan (mengenai sumber) kewangan mana yang lain untuk menampung jumlah pemotongan hutang dihadapi ini.

“Maka, saranan yang berhormat Ketua Menteri tadi akan kita perincikan, bentuk bagaimana bantuan yang patut dilakukan oleh Kerajaan Negeri,” ujar Farizan.