KM serah sumbangan kepada mangsa bom Bangkok

SUNGAI PUYU – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000 kepada semua waris lima warga Pulau Pinang yang terbunuh dalam kejadian ledakan bom di Bangkok pada 17 Ogos lalu.

“Sekali lagi saya ingin merakamkan takziah atas kehilangan besar untuk ahli keluarga yang terkorban dalam tragedi yang mengerikan semua kita.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Thailand atas kerjasama yang disumbangkan,” jelasnya selepas menziarahi kelima-lima mangsa terbabit dalam dua upacara penghormatan terakhir di sini barubaru ini.

Hadir sama, Konsul Jeneral Thailand ke Pulau Pinang, Ekajit Khaivichien, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang, Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Majlisnya, Sr. Rozali Mohamud dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Saodah Nawawi.

Mereka yang terkorban adalah Lim Saw Sek, 52, Lee Tze Siang, 35, Lee Jing Xuan, 4, Neoh Jai Jun, 20, dan Lim Saw Gek, 49.

Dua anggota keluarga lain, Neoh Hock Guan, 55, dan anaknya, Neoh Ee Ling, 33, masing-masing cedera di beberapa bahagian badan.

Sementara itu, Neoh Kah Loon, 26, iaitu abang kandung kepada mendiang Jai Jun memberitahu, beliau tidak menyangka bahawa percutian musim panas ahli keluarganya itu bertukar menjadi tragedi mengerikan.

“Ayah mengambil cuti kerana tak kerja pada ‘Hari Hantu Lapar’, ahli keluarga lain sertai percutian kerana nak rai adik saya yang berumur 20 tahun mendapat surat tawaran masuk ke sebuah universiti terkemuka di Taiwan.

“Bukan mudah menerima semua (ketentuan takdir) ini, saya dan ahli keluarga memang memerlukan masa untuk mengenangkannya,” jelas Kah Loon kepada wartawan.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);