Exco tinjau potensi pelancongan pertanian sekitar Sungai Muda

PENAGA – Sepanjang lembangan Sungai Muda di negeri ini serta kawasan pinggiran sekitarnya dilihat mempunyai potensi untuk dijadikan destinasi pelancongan pertanian, selepas Rancangan Tebatan Banjir (RTB) secara berperingkat sejak tahun 2004 yang menelan belanja RM1.35 bilion hampir selesai, kini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Tebatan Banjir, Dr. Afif Bahardin berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja dari perairan Sungai Tembus sehingga ke pintu air terbesar negeri di Sungai Muda, yang menjadi sempadan Pulau Pinang dan negeri Kedah.

“Sebelum banjir besar pada tahun 2004 dan RTB ini dilaksanakan kemudiannya, memang banyak aktiviti ekonomi di sepanjang Sungai Muda ini, seperti ternak ikan dalam sungai dan aktiviti ekonomi penduduk setempat di pinggir sungai.

“Kita membuat lawatan ini untuk melihat semula potensi pelancongan pertanian dan sebagainya, untuk manfaat komuniti setempat,” jelasnya kepada wartawan pada sesi lawatan tersebut di sini baru-baru ini.

Jurutera Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) bagi Daerah Seberang Perai Utara, Saiful Rizan Sanusi dan Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Mohd. Khairi Md. Salleh turut sertai lawatan kerja itu.

Dalam perkembangan sama, Afif turut mengadakan lawatan ke pinggir Sungai Muda dekat Permatang Bendahari, yang suatu masa dahulu pernah menjadi pusat kegiatan ekonomi pinggir sungai terkenal di rantau ini.

Beliau meninjau Dataran Banjir di sepanjang kiri dan kanan Sungai Muda di sini, iaitu kawasan yang dibenarkan menerima limpahan air banjir dalam jangka hayat 100 tahun lagi, untuk dijadikan kawasan pelancongan pertanian.

“Saya fikir kawasan-kawasan (Dataran Banjir) ini boleh dipertimbang untuk dijadikan kawasan cadangan projek pertanian.

“Apa-pun, projek yang hendak dilakukan mestilah menitikberatkan kualiti pertanian yang dicadangkan serta tidak sampai mencemarkan Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan air mentah utama untuk negeri,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Tambahnya, pihak JPS turut diminta mengenalpasti status rizab tanah sungai yang membabitkan RTB di sepanjang Sungai Muda di Pulau Pinang, sama ada di bawah negeri atau Kerajaan Pusat.

“Kita memang nak mempromosi lagi kawasan ini sebagai pelancongan pertanian.

“Mereka (penggerak pertanian) boleh datang untuk kemukakan proposal, tetapi, pada peringkat akhir ia perlu dirujuk kepada jawatankuasa teknikal, sebelum disokong oleh Kerajaan Negeri,” kata Afif.

Sungai Muda sehingga kini direkodkan membekal air mentah ke 6,750 hektar kawasan padi di sekitar Seberang Perai.