Tampil bantu kanak-kanak alami masalah pendengaran, seru Exco

GEORGE TOWN – Hanya dengan berbasikal, seseorang itu boleh beramal bagi meringankan beban insan lain yang kurang bernasib baik serta memerlukan.

Perkara itu terbukti apabila sejumlah RM12,000 berjaya dikumpul sempena program kayuhan amal, Ride for Hearing anjuran pusat perubatan swasta, Hospital Loh Guan Lye sebagai membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang ditemui sebelum menyempurnakan pelepasan peserta berkata, dana yang dikumpulkan pada hari tersebut akan disalurkan kepada Dana Kebajikan Kwong Wah Yit Poh Berhad untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

“Saya difahamkan, hari ini (24 Julai), seramai 417 peserta mengambil bahagian, menunjukkan sokongan atas usaha murni ini dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga pesakit.

“Inisiatif ini bukan sahaja untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran menjalani pembedahan implan koklea, malah juga bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Diharap lebih ramai yang tampil membantu mereka (kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah) yang mengalami masalah pendengaran untuk pulih semula,” katanya yang turut menyertai kayuhan sejauh 30 kilometer dari perkarangan Hospital Loh Guan Lye ke Queensbay Mall, Pantai Jerejak baru-baru ini.

Turut serta, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (E.N.T) Hospital Loh Guan Lye, Dr. Lim Seh Guan dan Pengarah Eksekutif Hospital Loh Guan Lye, Dr. Nicholas Loh.

Seh Guan dalam pada itu memberitahu, sumbangan dana tersebut sedikit sebanyak memberi sinar harapan baharu kepada keluarga yang memerlukan agar anak-anak mereka dapat mendengar seperti insan normal lain.

Hospital Loh Guan Lye mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam pembedahan implan koklea dan berjaya memulihkan 95 pesakit setakat ini.

if (document.currentScript) {