KN lulus peruntukan RM199,900 naik taraf & bekal kelengkapan asas Jeti Nelayan Changkat

Admin

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD
JAWI – Seramai 113 nelayan menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk menaik taraf Jeti Nelayan Changkat memperoleh perhatian Kerajaan Negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Ketua Menteri, telah meluluskan peruntukan RM199,900 untuk menaik taraf jeti sedia ada kepada jeti konkrit dan surat kelulusan serta lantikan kontraktor telah dikeluarkan pada 28 Disember lalu.

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf Jalan Pulau Burung hingga ke Pengkalan Jeti Changkat demi keselesaan nelayan serta kaki-kaki pancing.

“Bagi bekalan elektrik dan air bersih pula, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberitahu bahawa mereka mempunyai kekangan disebabkan jeti terletak di kawasan yang agak terpencil.

“Namun, kita (Kerajaan Negeri) akan cuba dapatkan peruntukan untuk membekal tenaga elektrik menggunakan panel solar dan berbincang dengan pihak PBAPP untuk pembekalan bekalan air mentah ke sini nanti,” umumnya pada Majlis Pengumuman Memanjangkan Kerja-kerja Pembinaan Jeti Nelayan Changkat di sini 18 Februari lalu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd Ali Sebran; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), H’ng Mooi Lye serta Heng Yeh Shiuan dan Ketua Unit Nelayan Changkat, Abdul Rahman Ibrahim.

Inisiatif tersebut adalah lanjutan daripada program Jelajah Sedia Mendengar ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi yang diketuai oleh Kon Yeow bersama-sama Lip Chee, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan pada Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, menurut Abdul Rahman, jeti tersebut mula dibina pada tahun 2008 menggunakan peruntukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kos melebihi RM500,000.

“Sejak dibina, kemudahan asas seperti bekalan air, surau, tandas dan tempat letak kereta tidak disediakan.

“Malah, bekalan tenaga elektrik melalui papan solar yang disediakan sudah rosak dan tiada penyelenggaraan,” jelasnya.

Tambah Abdul Rahman, sejak memegang jawatan sebagai ketua unit pada tahun 2012, beliau telah beberapa kali membuat permohonan kepada LKIM supaya menyediakan kemudahan asas di jeti berkaitan.

“Namun, jawapan yang diterima adalah menghampakan dan pihak berkaitan memberi alasan tiada peruntukan.

“Alhamdulillah, hari ini (18 Februari), dengan pengumuman oleh Kerajaan Negeri, para nelayan di sini bakal menikmati jeti yang mempunyai kemudahan asas lengkap dan impian untuk menjadikan tempat ini sebagai kawasan pelancongan bakal menjadi kenyataan,” ujarnya syukur.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menyatakan bahawa program turun padang seperti Jelajah Sedia Mendengar (yang dijalankan sebelum ini) oleh kepimpinan Kerajaan Negeri merupakan sejarah buat nelayan-nelayan di sini kerana ia tidak pernah dibuat wakil rakyat terdahulu.

“Malah, sebagai inisiatif khas, YB Soon (Lip Chee) sendiri telah lebih dari 10 kali datang melawat ke jeti ini untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh para nelayan sebelum program jelajah itu diadakan,” katanya.

Difahamkan, kawasan Jeti Nelayan Changkat merupakan tumpuan kaki-kaki pancing dari dalam dan luar negeri untuk pergi ke tengah laut terutamanya pada hari minggu.