FAP ambil perhatian aspek konstruktif memorandum – Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari mengharapkan sokongan seluruh penyokong dan peminat bola sepak Pulau Pinang bagi menyemarakkan semangat mereka menghadapi perlawanan Liga Super musim ini.

Zairil berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung memorandum Kelab Penyokong Gabungan Pulau Pinang yang diserahkan kepada Ketua Menteri di Komtar di sini baru-baru ini.

“Kami (FAP) telah ambil perhatian isi kandungan memorandum yang dikemukakan oleh penyokong, ada yang konstruktif dan ada juga yang destruktif, dan pastinya kami akan melihat komen-komen ini dari aspek konstruktif.

“Kami di FAP juga pastinya mengambil maklum kebimbangan para penyokong, cuma apa yang saya harapkan adalah penyokong dapat menunjukkan sokongan kepada pasukan bola sepak kita dan bukannya mengkritik atau menghina pemain-pemain kita kerana ia tidak membantu,” katanya pada sidang media di sini 28 Februari lalu.

Beliau menegaskan bahawa FAP kini menumpukan kepada pemain-pemain tempatan yang separuh daripadanya adalah berusia 22 tahun ke bawah, justeru, beliau berharap para penyokong dapat memberikan mereka peluang demi masa depan arena bola sepak negeri.

“Ada pemain yang tertekan termasuk pemain-pemain muda.

“Tahun lepas, kita kalah enam perlawanan dan menang satu (perlawanan). Tahun ini, secara asasnya sama, namun respons diberikan tahun ini adalah berbeza yang mana tahun lalu tiada memorandum dan demonstrasi diadakan.

“Tapi, bila saya di sana (memegang jawatan Presiden FAP), banyak yang berlaku,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa semua keputusan adalah dibuat secara kolektif dan merupakan keputusan bersama FAP.

Mengulas lanjut, Zairil menyatakan bahawa beliau secara peribadi tidak akan putus asa hanya disebabkan beberapa ‘pencetus’ masalah kini.

“Saya sendiri menerima dua ugutan bunuh dan saya telah serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Malah, jurulatih juga menerima ugutan sama dan ia juga telah diserahkan kepada pihak polis,” jelasnya sambil menyatakan bahawa lantikan beliau oleh FAP dan bukannya oleh dirinya sendiri.

Zairil dalam pada itu turut meminta para penyokong agar tidak mencetuskan sebarang kekecohan yang melampau.

“Misalnya kekecohan ketika melawan Sarawak baru-baru ini, ada yang merusuh di luar stadium dan saya harap perkara seperti ini tidak lagi berulang. Kami (FAP) terima sebarang kritikan secara aman, dan bukannya melalui rusuhan atau keganasan seperti itu,” katanya.