KN terus bantu rakyat miliki kediaman sendiri

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

BATU UBAN – Kerajaan Negeri menyatakan komitmen yang berterusan untuk membantu rakyat Pulau Pinang memiliki kediaman sendiri. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembinaan rumah mampu milik yang direncanakan Kerajaan Negeri bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri, malah juga mampu meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Sememangnya, adalah menjadi hasrat kita (Kerajaan Negeri) untuk melihat setiap rakyat di negeri ini, yang berkelayakan, mampu memiliki kediaman sendiri.

“Oleh itu, saya percaya bahawa penglibatan syarikat pemaju amat penting dalam merealisasikan aspirasi kita (Kerajaan Negeri) untuk melihat rakyat menikmati hidup yang selesa seiring dengan taraf kehidupan kini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah QuayWest Residence di Bayan Mutiara di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim. Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan dan Pengarah Tropicana Ivory, Datuk Low Eng Hock antara yang turut serta dalam majlis berkaitan.

Dalam pada itu, Guan Eng memuji inisiatif syarikat pemaju hartanah Asia Green Property Development, iaitu sebuah anak syarikat Asia Green Group (AGG), peneraju pembangunan hartanah dan reka bentuk bangunan hijau, kerana menyahut aspirasi Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan pembangunan lestari di negeri ini.

“Saya berharap lebih banyak pemaju hartanah tampil membantu Kerajaan Negeri menyediakan perumahan mampu milik untuk semua lapisan rakyat di Pulau Pinang,” ujarnya. Projek QuayWest Residence (QuayWest) merupakan projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM600 juta.

Terletak hanya lima minit dari pusat membelibelah Queensbay di Persiaran Bayan Indah, QuayWest dibangunkan di atas tapak seluas tiga hektar bagi tanah komersil menghadap ke laut. Menawarkan 1,235 unit rumah pegangan bebas di dua menara 24 tingkat, projek tersebut turut mempunyai 253 unit SoHo (pejabat kecil/ pejabat rumah) dengan tawaran berpatutan selain 304 unit kediaman kos sederhana rendah.