GEORGE TOWN – Bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Persatuan Majikan Pusat Pendidikan Malaysia bersama-sama Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang dan Persatuan Gabungan Tadika Swasta Daerah Batu Pahat, Johor secara rasmi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah awal pembangunan pendidikan prasekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata, kerjasama antara kedua-dua negeri ini penting dalam memperkukuh hubungan rentas negeri terutama bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak.
“Saya difahamkan bahawa MoU ini merupakan inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, Johor dan disokong oleh PPD Timur Laut serta Seberang Perai Utara (SPU).
“Inisiatif ini melibatkan program pertukaran yang bakal memperkaya perkongsian ilmu sekali gus merapatkan hubungan antara pendidik di kedua-dua negeri.
Saya berharap lebih banyak kolaborasi sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang memandangkan pendidikan adalah asas masa depan negara.
“Saya percaya kolaborasi seperti ini memberi suntikan idea dan semangat baharu yang akan memacu sektor pendidikan awal ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya yang hadir sebagai saksi pada majlis berkaitan yang diadakan di sini baru-baru ini.
Mengiringi beliau, Penolong Pegawai (Pendidikan Swasta) PPD Batu Pahat, Nurhashila Mohd. Shukeree.

Terdahulu, Buletin Mutiara difahamkan bahawa delegasi dari Batu Pahat turut mengadakan lawatan ke tiga tadika di negeri ini iaitu Tadika Bintang Nautika yang merupakan penerima Anugerah Tadika Cemerlang Daerah Barat Daya; Tadika Bijak Pintar (Anugerah Tadika Cemerlang Daerah Timur Laut) dan Tadika Didik Bijak (Anugerah Tadika Cemerlang SPU).
Delegasi yang diketuai oleh Presiden Persatuan Majikan Pusat Pendidikan Malaysia, Dr. Lee Eng Wah dan Presiden Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang, Dr. Lim Beng Suat juga berpeluang mendalami reka bentuk kurikulum, pengurusan tadika, falsafah pengajaran serta penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.
Selain itu, perbincangan yang diadakan juga turut menyentuh aspek latihan guru, strategi komunikasi dengan ibu bapa, inovasi dalam pendidikan dan potensi kerjasama pada masa hadapan.

Penolong Pegawai (Unit Pendidikan Swasta) PPD SPU, Abd. Rahim Kassim; Penolong Pegawai (Unit Pendidikan Swasta) PPD Timur Laut, K. Govindasamy; Presiden Persatuan Gabungan Tadika Swasta Daerah Batu Pahat, Lim Mei Lee antara yang turut serta dalam lawatan tersebut.
Gambar : LEE ENG WAH